"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: NexG bukan sekadar drama korporat, ada isu besar

Malaysiakini 

Kontroversi yang melanda NexG Bhd bukan sekadar pertikaian perniagaan atau drama korporat berasaskan wang, kata Rafizi Ramli.

"Isunya jauh lebih besar daripada itu,” tegas bekas menteri ekonomi itu melalui satu hantaran di media sosial.

“Ramai tengok isu NexG ini seperti satu lagi pergaduhan bisnes.

“Ada nama Victor Chin, ada cerita ambil alih saham, terus orang anggap ini sekadar drama korporat,” katanya.

Menurut ahli parlimen Pandan itu, NexG berkait dengan perkara yang sangat strategik kepada negara, termasuk MyKad, pasport dan dokumen pekerja asing.

Rafizi berkata semua bentuk pengenalan rasmi itu akhirnya digunakan dalam urusan perbankan, pentadbiran kerajaan, malah proses pengundian.

“NexG menyentuh perkara yang sangat strategik kepada negara. MyKad. Pasport. Dokumen pekerja asing. Segala bentuk pengenalan rasmi yang akhirnya digunakan dalam urusan bank, urusan kerajaan, malah mengundi.

“Bila sebuah syarikat duduk di tengah sistem identiti negara, siapa yang mengawalnya bukan lagi sekadar memegang satu syarikat. Dia memegang sesuatu yang jauh lebih besar.

“Sebab itu, saya kata isu ini tak boleh dibaca sebagai cerita saham semata-mata,” katanya lagi.

Menurut Rafizi, perkara yang lebih membimbangkan ialah apabila aset strategik seperti itu menjadi rebutan pihak berkepentingan.

“Yang lebih merisaukan ialah bila aset strategik seperti ini boleh menjadi rebutan kelompok berkepentingan. Itu tanda masalahnya bukan pada satu dua nama.

“Masalahnya pada sistem yang membenarkan perkara seperti ini berlaku,” katanya.

NexG merupakan syarikat yang memegang kontrak kerajaan bernilai kira-kira RM2.4 bilion untuk membekalkan kad pengenalan nasional dan pasport.

Syarikat HeiTech Padu pula melaksanakan kerja berkaitan seperti pembangunan dan pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Kedua-dua syarikat itu sebelum ini dikaitkan dengan skandal “mafia korporat” yang pertama kali dilaporkan oleh Bloomberg.

Pada 10 Mac lalu, pengasas NexG, Abu Hanifah Nordin mendakwa penggantungannya sebagai pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutif syarikat berpunca daripada usahanya melindungi NexG daripada “dirompak secara terang-terangan”.

Susulan itu, ahli perniagaan Victor Chin dalam dokumen setebal 40 muka surat yang didedahkan pada 24 Mac memperincikan kronologi peristiwa yang menggambarkan dia dan rakan niaganya berdepan ugutan serta intimidasi dalam usaha untuk “merampas” syarikat penyedia penyelesaian IT tersenarai awam itu.

Tiga hari kemudian, Bernama melaporkan NexG mengumumkan struktur kepimpinan baru, dengan Ishak dilantik semula sebagai pengerusi eksekutif manakala Abu Hanifah Nordin pula dilantik sebagai timbalan pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutif kumpulan.

Tiada ulasan: