"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Papa Gomo didenda RM4,000 kerana buat hasutan terhadap Agong

Faisal Asyraf

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen mengenakan denda RM4,000 ke atas pempengaruh politik Wan Azri Wan Deris selepas disabitkan kesalahan menghasut berhubung kenyataannya yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Norma Ismail turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya Sabri Othman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara, dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu.

Sabri berhujah bahawa hantaran di media sosial tersebut mengandungi bahasa kesat, penghinaan lisan dan kenyataan berbaur menghina yang boleh mencetuskan kebencian terhadap Agong.

“Hukuman yang terlalu ringan tidak akan menghalang tertuduh daripada mengulangi kesalahan,” katanya.

Sabri berkata, tertuduh berusia 44 tahun itu yang merupakan bekas anggota polis, mahir dalam undang-undang dan sedar akan implikasi tindakannya, namun tetap memilih untuk menyiarkan kenyataan berunsur hasutan itu.

Dalam rayuan mitigasi, peguam bela Rafique Rashid Ali memaklumkan ia adalah kesalahan pertama Wan Azri di bawah Akta Hasutan 1948 dan memohon mahkamah hanya mengenakan denda.

Beliau turut menyatakan bahawa kes-kes serupa melibatkan individu berprofil tinggi sebelum ini hanya dikenakan denda.

Rafique juga memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai lima orang anak, dengan yang bongsu disahkan menghidap autisme dan memerlukan penjagaan rapi.

Beliau menambah Wan Azri telah memberi kerjasama sepanjang perbicaraan dan mematuhi perintah mahkamah untuk melapor diri ke balai polis setiap bulan.

Wan Azri didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 pada Mei 2024. Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM5,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan itu dalam satu hantaran di platform X melalui akaun sir_azri, di sebuah kondominium di Bukit Bintang pada 12 tengah hari, 29 April.

Pihak pendakwaan memanggil sembilan saksi, manakala Wan Azri merupakan satu-satunya saksi pembelaan.

Tiada ulasan: