"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Ular sawa 5.5 meter telan anak lembu di Baling

Zuliaty Zulkiffli
Anggota APM Baling menemukan seekor ular sawa yang berjaya ditangkap selepas menelan seekor anak lembu di kawasan Paya Keladi. FOTO IHSAN APM
BALING: Seekor ular sawa sepanjang 5.5 meter ditemukan sedang menelan anak lembu di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Paya Keladi, di sini hari ini.

Menurut pemilik lembu, Wan Hasbullah Wan Ismail, 57, anak lembu itu didapati hilang pada waktu petang ketika sedang meragut rumput di lokasi berkenaan.

Kehilangan itu disedari selepas haiwan ternakan itu tidak lagi kelihatan di kawasan biasa.

Bagaimanapun, beliau terkejut apabila menemui seekor ular sawa sedang menelan anak lembu berkenaan di kawasan ladang itu.

“Tak ada sebarang bunyi pun sebelum itu dan separuh badan anak lembu sudah ditelan ular sawa berkenaan.

“Saya menghubungi APM Baling untuk mendapatkan bantuan menangkapnya.

“Tak pernah lagi saya jumpa ular sawa di sini mungkin sebab cuaca panas dan lapar, ia keluar mencari perlindungan serta makanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.20 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, empat anggota APM diketuai oleh Lans Koperal (PA) Mohd Radzi Said tiba di lokasi dan mendapati reptilia seberat 45 kilogram itu sedang menelan anak lembu berusia kira-kira lima tahun.

“Anggota APM kemudian menjalankan operasi menangkap menggunakan peralatan penjerut dan berjaya ditangkap.

“Ketika proses tangkapan dilakukan, ular sawa itu meluahkan semula anak lembu berkenaan sebagai tindak balas untuk melepaskan diri dan operasi berjaya dikawal dan diselesaikan dalam tempoh lebih kurang 30 minit,” katanya.

Mohd Faizol berkata, jarak antara lokasi kejadian dengan kawasan kediaman penduduk dianggarkan kira-kira 500 meter.

Sehubungan itu, APM menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri jika berdepan situasi sama, sebaliknya segera menghubungi agensi berkaitan kerana kehadiran ular dipercayai berpunca daripada faktor mencari sumber makanan serta cuaca panas yang mendorong haiwan keluar dari habitat asal.

Tiada ulasan: