"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Warga emas rentung, 2 lelaki disiasat membunuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kehilangan warga emas sejak empat hari lalu terjawab susulan penemuan mayatnya yang rentung dipercayai dibunuh, dalam kejadian di Ladang Anak Kulim, Kulim, semalam.

Ketua Polis Kulim Zulkifli Azizan, berkata susulan itu dua lelaki berusia 22 dan 68 tahun direman sehingga 1 April untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.

Katanya, mangsa berusia 77 tahun ditemukan rentung oleh anggota Pondok Polis Terap yang dimaklumkan mengenai kejadian menerusi panggilan orang awam pada 2.25 petang.

“Semasa meronda di lereng bukit bersebelahan lokasi kejadian, dia terlihat satu mayat dan sebuah motosikal dalam keadaan rentung, menyebabkannya terus beredar untuk memaklumkan polis,” katanya menurut Bernama.

Zulkifli berkata, siasatan di lokasi mendapati mayat dalam proses pereputan, manakala motosikal turut terbakar.

“Berdasarkan pengecaman ke atas motosikal, waris mangsa berjaya dikesan dan waris memaklumkan mangsa berusia 77 tahun tidak pulang ke rumah selepas keluar empat hari lepas,” katanya.

Beliau berkata, pengecaman mayat setakat ini berdasarkan motosikal manakala pengesahan identiti melalui asid deoksiribonukleik (DNA) masih menunggu laporan analisis.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian sehingga mengganggu siasatan.

Tiada ulasan: