"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki mengamuk guna dua pisau ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Seorang lelaki tempatan yang bertindak mengamuk sambil memegang dua pisau di kawasan lot kedai Damansara Perdana, di sini, ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 malam semalam.

Menurutnya, susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Damansara bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati seorang lelaki tempatan berada di tangga berhampiran premis sambil memegang dua pisau.

"Anggota bertindak segera menghampiri suspek dan mengarahkannya menyerahkan senjata berkenaan sebelum lelaki itu berjaya ditahan tanpa sebarang insiden tidak diingini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga 7 Mei ini.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian," katanya.

Tiada ulasan: