Noor Sara Mohamad Hanif
am@hmetro.com.my
Kangar: Polis menahan lelaki berusia 61 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan kalimah Allah pada tokong kecil di kedai perkakasan di Persiaran Jubli Emas, di sini, hari ini.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, lelaki itu yang juga pemilik premis berkenaan ditahan kira-kira 3 petang.
"Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK 1955).
"Polis juga memohon semua pihak dapat menghentikan sebarang andaian atau provokasi dan memberi ruang untuk tindakan selanjutnya bagi menangani kes ini," katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Muhammad mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kewujudan kalimah Allah pada tokong kecil di kedai perkakasan berkenaan, seperti mana yang tular di media sosial.
Katanya, polis melakukan siasatan lanjut berdasarkan laporan dibuat individu melihat video itu di media sosial selain mengambil keterangan pemilik premis perniagaan terbabit.
Terdahulu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama seorang individu tampil membuat laporan polis berhubung penularan video penemuan kalimah suci berkenaan yang didakwa boleh menyinggung perasaan umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan