"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi beri keterangan di SPRM berkait kes salah guna kuasa

Bernama 

Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.

Ia melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited dari United Kingdom (UK).

Ahli Parlimen Pandan itu tiba pada 9.31 pagi.

Bercakap kepada pemberita sebelum memasuki ibu pejabat SPRM, Rafizi berkata beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan berkenaan.

Sabtu lepas, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar mengesahkan akan memanggil Rafizi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut yang dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Mohd Hafaz berkata sehingga kini, sebanyak 22 keterangan diambil termasuk dalam kalangan menteri dan pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Feb 2025.

Beliau juga dilaporkan berkata SPRM sebelum ini juga merakam keterangan bekas pembantu Rafizi, Chai Jin Shern atau James Chai selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa lepas.

SPRM membuka kertas siasatan kes itu pada 16 Feb lepas susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

- Bernama

Tiada ulasan: