"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

NS: DAP arah jentera siap siaga hadapi kemungkinan PRN mengejut

Malaysiakini 

DAP mengarahkan seluruh penggerak parti itu untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya mengejut ekoran beberapa perkembangan yang berlaku mutakhir ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, DAP berkata, parti itu mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa tertinggi pusatnya di Kuala Lumpur pada malam tadi dengan membincangkan beberapa perkara.

Antara isu yang menjadi perhatian, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, ialah perkembangan terkini krisis Politik di Negeri Sembilan.

Hasil perbincangan yang berlangsung, katanya, beberapa pendirian diambil oleh badan tertinggi DAP itu.

Antaranya, menurut Loke, DAP tidak akan bersetuju dengan sebarang cadangan menukar menteri besar pada ketika ini selepas cubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan baru-baru ini gagal.

“Justeru DAP mengarahkan seluruh jentera parti untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya DUN masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Negeri Sembilan berdepan dengan kemelut pentadbiran ekoran isu keabsahan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, serta lembaga adat negeri terbabit.

Ia kemudian menyaksikan 14 Adun Umno mengumumkan mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, dan menarik sokongan daripada pemimpin PKR berkenaan.

Pengumuman tersebut segera disambut oleh PN – yang mempunyai lima Adun dalam DUN Negeri Sembilan – dan menyatakan kesediaan bekerjasama membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun Aminuddin memberitahu dia mendapat titah daripada Tuanku Muhriz untuk terus menjalankan tugas selaku menteri besar sehingga dapat kejelasan muktamad mengenai kedudukannya – termasuk ditentukan dalam DUN Negeri Sembilan.

Konflik itu kemudian sedikit reda apabila pada 30 April lalu Umno menyatakan pendirian parti itu untuk terus menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, namun pada masa sama menghormati pendirian diambil 14 Adun parti berkenaan.

Semalam pula, dua daripada Adun PN membuat pusingan U dengan menyatakan pendirian mereka untuk berkecuali dalam krisis yang berlaku.

Loke berkata DAP sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi institusi raja berperlembagaan.

Justeru, katanya segala isu yang melibatkan institusi raja dan Adat Pepatih perlu diselesaikan dengan penuh hormat dan tertib mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri.

“DAP menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, atas titah baginda supaya kerajaan negeri terus befungsi seperti biasa di bawah pentadbiran Aminuddin.

“DAP akan terus mendokong dan memberi sokongan penuh kepada Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan PH menguasai 17 daripadanya.

Tiada ulasan: