"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puad Zarkashi: Kerjasama BN-PN umpama ‘tunggu buah tak gugur’

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata sebarang bentuk kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) umpama menunggu buah yang tidak akan gugur kerana partinya tidak mempercayai Bersatu.

ADUN Rengit itu ketika dihubungi FMT berkata Umno tidak mempercayai Bersatu walau siapapun yang memimpin parti itu, selain kedua-dua parti tiada keserasian antara satu sama lain.

“Gabungan BN-PN untuk membentuk kerajaan baharu sudah tidak lagi relevan.

“Ia tidak wajar difikirkan sekarang… hanya membuang masa,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan pemimpin Bersatu bahawa Muhyiddin Yassin menjadi batu penghalang kerjasama BN-PN.

Seorang lagi ahli MKT Umno, Mohd Razlan Rafii turut senada dengan Puad apabila menyifatkan batu penghalang bagi kerjasama antara BN-PN bukan sahaja Muhyiddin yang juga pengerusi PN, sebaliknya beliau turut menamakan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan rakan lain.

Katanya, kesemua mereka mempunyai hubungan antara satu sama lain dan berperanan menggerakkan usaha “membeli” Ahli-ahli Parlimen BN.

“Bukan satu individu. Sebab mereka ada ‘connection’. Gerakan untuk membeli Ahli-ahli Parlimen BN dah digerakkan dari awal,” katanya ketika dihubungi FMT.

Puad juga menyatakan bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim wajar diberikan peluang untuk mentadbir sehingga habis penggal ini, dan menyifatkan negara tidak memerlukan sebarang pertukaran kerajaan sebelum PRU 16.

Selain itu, beliau berpandangan Bersatu dan PAS perlu memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa.

“Jangan halang siasatan, penambahbaikan dan pembaharuan institusi yang kerajaan perpaduan mahu laksanakan,” pesan Puad kepada PAS dan Bersatu.

Anwar: Dana judi: Jangan gopoh, saya ada dokumen

BORHAN AHMAD

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mempunyai dokumen yang mengaitkan Perikatan Nasional (PN) dengan dana syarikat judi.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta Pas bersabar menerima dakwaan itu dan jangan gopoh.

“Saya nak nasihat (Datuk Seri) Takiyuddin jangan gopoh.

“Saya sekarang di Kementerian Kewangan dan ada dokumen bersama saya,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.

Anwar menjawab kenyataan media Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata Pas akan mengambil tindakan terhadap Anwar ekoran dakwaan PN kemungkinan menerima dana dari syarikat judi.

Anwar Ibrahim hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Kewangan.

Beliau yang mengenakan sut serba biru tiba di perkarangan Kementerian Kewangan (MOF) pukul 7.58 pagi dan disambut Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datin Rashidah Mohd Sies.

Anwar, 75, kemudiannya dilihat memasuki pejabat di aras 12 bagi menghadiri taklimat tertutup bersama pegawai MOF.

Anwar pernah memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998 di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

‘Ustaz Budak’ diperintah bela diri atas tuduhan mencabul lelaki

FAZLI RADZI

‘Ustaz Budak’ yang merupakan pengurus madrasah diperintah membela diri atas pertuduhan mencabul seorang lelaki di sebuah hotel pada Disember 2020.

Pemilik nama sebenar kepada Syamsul Zaman Sukri berusia 33 tahun itu diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani membuat keputusan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ‘Ustaz Budak’ dan seterusnya mengarahkan tertuduh membela diri.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tarikh perbicaraan untuk Syamsul Zaman membela diri pada 25 Januari depan.

Menurut Mohd Izdham, dalam kes tersebut pihak pendakwaan memanggil lima saksi dan mahkamah meneliti segala keterangan serta hujahan saksi.

“Dalam kes ini, mahkamah mengguna pakai penilaian maksimum, selain mahkamah turut berpuas hati dengan keterangan pengadu.

“Pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh dan oleh itu tertuduh diarah membela diri,” katanya, lapor BH.

Mengikut kertas pertuduhan, Syamsul dituduh melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun.

Kejadian itu dilakukan di sebuah bilik The Infinite Hotel di Kota Bharu pada jam 1.15 pagi pada 16 Disember 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.