"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sokongan Rakyat Di Bukit Gantang Begitu Nyata Kepada DS Nizar

Apa kata pengundi mengenai Nizar?
Abdul Shukur Harun 
Beribu-ribu penyokong Pakatan Rakyat membanjiri Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah pada hari penamaan calon pilihan raya kecil didua bukit itu serentak hari ini. Penamaan calon di Batang Ai, Sarawak juga diadakan di hari yang sama.

Seperti yang diketahui, tiga pilihan raya kecil serentak ini dianggap oleh para pemerhati politik sebagai pungutan suara rakyat sama ada memihak kepada Pakatan Rakyat, ataupun kepada BN.

Namun kebanyakkan pundit politik meramalkan Pakatan Rakyat akan dapat menewaskan BN di tiga kawasan tersebut.

Calon PAS di Bukit Gantang, Ir. Nizar Jamaludin sudahpun 'berkampung' sejak minggu lalu di kawasan tersebut, sementara calon PKR di Bukit Selambau, S. Manikumar sudah memulakan gerak kerjanya sejak beberapa hari lalu. Demikian juga calon Pakatan Rakyat di Batang Ai, Jawah Gerang, khabarnya sudahpun memulakan kerjanya.

Ir. Nizar benar-benat dilihat sebagai calon paling layak di Bukit Gantang itu, bukan semata-mata kerana beliau menjadi 'bintang' yang begitu bersinar sejak peristiwa hitam di Perak itu, tetapi juga kerana kewibawaannya, kewarakannya, pendidikannya, keintelektualannya dan kepimpinan cemerlangnya yang tunjukkannya sebagai Menteri Besar Perak walaupun selama 11 bulan.

Dengan parti yang diwakilinya, PAS yang membawa wadah 'Islam Untuk Semua' maka pengundi Bukit Gantang rasanya tidak mudah untuk menolaknya, bahkan mereka merasa bertuah kerana mendapat calon yang sebaik ini.

Dari laporan yang diterima setakat ini, para pengundi ketiga-tiga Dun dalam Bukit Gantang itu � Dun Changkat Jering, Kuala Sepetang dan Trong � mengalu-ngalukan Ir. Nizar sebagai calon PAS.

Beberapa orang peniaga pasar malam di pekan Trong yang ditinjau pendapat mereka berkata, tidak ada sebab pengundi Bukit Gantang menolak Ir. Nizar.

Bagi mereka Ir. Nizar adalah calon yang tepat dan terbaik.

Peniaga itu, Hashim Ghani dan Sudin Mat Arif sama-sama bersetuju bahawa Ir. Nizar seorang pemimpin muda, berkebolehan yang mampu menyelesaikan masalah rakyat di Trong, malah di tempat lain di Bukit Gantang.

"Bukan mudah untuk mendapat calon yang baik begini.

"Kadang-kadang, ada calon itu kaya, tapi sombong. Ada pula sesetengah calon itu berpendidikan tinggi tapi kedekut,"kata keduanya.

Bagi mereka, In. Nizar adalah calon yang sangat layak diundi. "Kami Insya-Allah akan menyokong Nizar," kata Hashim dan disetujui oleh temannya tadi.

"Ir. Nizar adalah pemimpin muda berpendidikan tinggi yang berkebilehan," kata Adly Musa, seorang tuan punya sebuah syarikat swasta di Trong.

Beliau sangat gembira mendengarkan Ir. Nizar menjadi calon di Bukit Gantang.

"Kepada saya dia adalah calon paling berkebolehan. Saya mengucapkan tahniah kepada parti PAS kerana memilih Ir. Nizar menjadi calon."

Kelihatan markas PAS, PKR dan DAP sudah dibuka dan para petugas mulai sibuk membuat persiapan, sementara bendera dan poster parti sudah kelihatan di mana-mana.

Di Dun Changkat Jering, saya bertemu dengan seorang pesara, sedang minum bersama temannya di sebuah restoran di pekan itu. Ketika ditanya mengenai pencalonan Ir. Nizar sebagai calon PAS di Bukit Gantang ini, pesaran itu, Haji Malik, spontan berkata:

"Inilah calon yang bagus. Berpelajaran tinggi, walaupun tidak sampai setahun menjadi MB Perak, tetapi sudah ternyata kebolehannya. Anak saya yang menjadi pegawai di syarikat swasta di Kemunting selalu tengok internet di rumah. Sebab itu saya dapat tahu mengenai Ir. Nizar ini."

Kalau baca surat khabar biasa, atau tengok TV, katanya, kita tidak akan jumpa cerita yang baik mengenai Nizar, mengenai Pakatan Rakyat.

Melalui internet itu, katanya, beliau dapat tahu ketokohan Ir. Nizar. Kalau TV dan akhbar biasa, kata Haji Malik, kita bosan baca berita BN baik saja.

Gerai-gerai makan yang baru dibuka di sebuah kawasan lapang sudah dikunjungi ramai.

Salah seorang tuan punya gerai makan di situ, Yong Fidah, memberitahu saya, "Nizar ada datang ke sini minggu lalu, ramai orang mengiringi dia. Kepada saya, dia memang layak jadi calon di sini. Mak saya orang kuat muslimat PAS, dia kata Nizar ni orang ada pelajaran tinggi, warak orangnya. Kami terang-terang kata sokong Nizar."

Suami Yong Fidah yang baru tiba dari pasar, memunggah pelbagai bahan makanan tersenyum melihat saya dan beberapa kawan.

"Ini orang Selangor," kata isterinya memperkenalkan, "dia tanya fasal Nizar."

Suaminya itu spontan menjawab: "Dia orang baik, ada ilmu. Saya pernah jumpa dia di suatu majlis di sini dulu. Saya dijemput makan dengan dia lepas dia ceramah. Ramah orangnya."

Kata suaminya itu lagi, dalam pilihan raya umum dulu, orang Cina dan India turut menyokong calon PAS di sini. Ramai yang membawa bendera PAS di tangan.

Suasana begini dijangka akan berulang dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang ini nanti.

Sementara itu pelbagai kenderaan mulai masuk di kawasan gerai makan di situ, bendera parti yang bertandingpun mulai dipasang di merata tempat.

Suasana mulai sibuk. Suasana pilihan raya benar-benar terasa di Pekan Changkat Jering ini, namun belum juga berjumpa durian, yang khabarnya, antara yang terbaik di Perak ini.

Di Kuala Sepetang, udang baru yang diangkat dari perahu dan bot nelayan disitu sedang dipunggah untuk dijual di gerai-gerai mei udang yang berderet-deret di Kuala Sepetang itu.

Keadaannya sungguh meriah, gerai-gerai mee udang sudah dikerumuni para peminat dari dalam dan luar Bukit Gantang yang kebanyakkannya mulai datang untuk menjadi petugas parti masing-masing dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang itu.

Kelihatan di dinding rumah dan kedai yang disewa oleh parti yang bertanding sudah dipenuhi bendera dan poster parti. Markas PAS, PKR dan DAP sudah sibuk denga petugas masing-masing.

Beberapa orang Cina dan India turut sama berada di markas PAS, berbual seama sendiri.

Pemandangan begini mengingatkan saya dalam PRU Ke-12 tahun lalu di mana orang Cina dan India turut membantu calon PAS, sementara petugas PAS juga sebaliknya.

Dogma perkauman sudah mereka tinggalkan.  

 -Harakahdaily-

Tiada ulasan: