"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan Mahkamah Tamparan Hebat Kepada Najib

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin hari ini menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan beliau bagi memulakan prosiding semakan semula kehakiman bahawa beliau masih Menteri Besar yang sah sebagai tamparan hebat kepada Umno dan Barisan Nasional terutamanya kepada Perdana Menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Najib Razak.

Mohamad Nizar berkata keputusan yang dibuat semasa Pakatan Rakyat giat berkempen untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan 7 April depan menjadi simbol amat penting kepada permulaan kehancuran Umno dan BN.

"Perbicaraan terbuka yang akan bermula pada 9 April ini dan ini adalah tamparan hebat kepada Umno dan Barisan Nasional dan seluruh penyokong Pakatan Rakyat haruslah mengambil ini sebagai iktibar dan kejayaan yang besar buat masa ini," kata beliau ketika berucap pada satu ceramah yang diadakan di bilik gerakan Parti Keadilan Rakyat di Changkat Jering, Taiping malam tadi.

Datuk Seri Nizar mengajak pengundi Bukit Gantang meninggalkan Umno dan BN kerana ia mewakili politik lama yang sudah lapok dan unsang yang tidak lagi relevan kepada keperluan politik negara masa kini.

Ini kerana politik baru yang ingin diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat berlandaskan kepada ketelusan, amanah, keadilan dan kesaksamaan yang merupakan nilai-nilai yang asing bagi Umno dan BN.

"Kita mahu ucapkan selamat tinggal kepada umno dan BN dan yang apa sudah berlalu itu cukuplah. Kita mahu mengurus tadbir negeri Perak ini secara adil dan melahirkan masyarakat madani yang mengerti mendaulatkan undang-undang dan peraturan negara," tegas beliau.
 
Semalam Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dalam keputusannya berkata, selepas mempertimbangkan hujahan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said bagi pihak Pejabat Peguam Negara dan peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah, beliau mendapati permohonan semakan itu bukanlah remeh, menyusahkan atau penyalahgunaan proses mahkamah. 

Datuk Abdul Aziz seterusnya berkata, beliau bersetuju dengan hujahan Sulaiman bahawa fakta yang material tidak dihujahkan pihak Peguam Negara, malah Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) juga tidak pernah dibubarkan bagi melantik Menteri Besar baru.

Datuk Seri Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman pada 13 Februari lalu bagi mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah dan Datuk Dr Zambry Abdul kadir yang dinamakan sebagai responden tidak berhak memegang jawatan tersebut.

Beliau menegaskan kepada lebih daripada 400 penyokong Pakatan Rakyat bahawa beliau dan kepimpinan Pakatan Rakyat Perak tidak pernah menderhaka kepada Sultan Perak malah menghormati dan taat kepada baginda sebagai rakyat.

Sebaliknya Datuk Seri Mohamad Nizar membidas Umno dan BN yang cuba menggunakan institusi raja bagi tujuan politik kotor mereka.

"Saya ingin memberitahu hubungan saya sebagai Menteri Besar Pakatan Rakyat dengan Tuanku Sultan cukup baik sehinggakan apabila saya dititahkan untuk meletak jawatan dan dalam suasana yang cukup kritikal itu saya tetap menghormati institusi di raja dengan menggunakan kalimah-kalimah dan istilah di raja yang cukup luhur dan lembut terhadap Tuanku," jelas beliau lagi.

Datuk Seri Mohamad Nizar menambah setelah berjaya merampas kuasa dan mendirikan kerajaan secara haram terbukti kini Umnolah penderhaka dan perosak institusi raja sebenarnya.   
-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: