"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hukuman sebat: Kartika masih harapkan kenyataan ‘rasmi’

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 28: Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang masih menunggu tarikh pelaksanaan hukuman sebatan yakin peluang untuk menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan memberikan “ketenangan” kepada dirinya.

Saya gembira kerana Tengku Mahkota Pahang menyatakan kelapangan baginda untuk menerima saya menghadap.

“Dalam pertemuan nanti, saya akan memberitahu apa yang ada isi hati saya dan saya juga akan berpeluang untuk mendengar pandangan Tengku Mahkota Pahang dalam isu kes saya ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kartika juga menyifatkan pertemuan dengan Tengku Abdullah boleh dilihat sebagai satu bentuk “jawapan hitam putih” memandangkan dia masih tidak mengetahui status pelaksanaan hukuman sebatan sejak lebih lima bulan yang lalu.

“Setakat ini tidak ada hitam putih (kenyataan rasmi) daripada mana-mana pihak... sama ada hukuman dilaksanakan ataupun tidak.

“Tahun lalu saya dibawa untuk dilaksanakan hukuman tetapi ia ditangguhkan dan saya dihantar balik ke rumah saya.

“Kemudian walaupun saya sudah melantik peguam, tetapi tidak dimaklumkan perkembangan kecuali saya membaca dalam media,” kata beliau mengulas bahawa Tengku Abdullah mahu isunya diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Oleh itu Kartika yakin bahawa jika berpeluang untuk menghadap Tengku Mahkota Pahang ia akan menjadi satu bentuk kenyataan rasmi tentang kedudukan kesnya, sekali gus membolehkannya mengambil tindakan-tindakan lain dalam hidupnya dengan tenang dan tenteram. Kelmarin Tengku Mahkota Pahang berkata baginda bersedia menerima menghadap Kartika berhubung isu penangguhan pelaksanaan hukuman sebatnya.

Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagaimanapun bertitah, baginda belum menerima permohonan secara rasmi daripada Kartika setakat ini.

Baginda bertitah demikian ketika mengulas mengenai pelaksanaan hukuman ke atas Kartika, 32, yang belum dilaksanakan selepas dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai tahun lepas setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Tengku Abdullah bertitah, isu tersebut perlu ditangani secara bijaksana serta dengan penuh keinsafan berikutan ia satu isu yang sensitif.

Tengku Mahkota Pahang juga bertitah, keputusan untuk menentukan tarikh pelaksanaan hukuman tersebut akan diumumkan dalam tempoh sebulan lagi.

“Kita harap dapat selesaikan isu ini dengan bijaksana dan penuh keinsafan kerana mungkin ada rahmat di sebalik kelewatan pelaksanaan hukuman ini.

“Saya beri tempoh sebulan lagi untuk selesaikan segala masalah dan mencari punca kenapa ia tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin,” titah baginda.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: