"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aduka Taruna baru sebulan Nikah, didakwa semalam, bersanding hari ini

HermanSamsudeen
Aduka Taruna yang didakwa kerana menghina Mahkamah memohon untuk dikurangkan nilai wang jaminan memandangkan beliau akan bersanding hari ini. Beliau memaklumkan mahkamah bahawa beliau baru bernikah sebulan yang lalu. Mahkamah bersetuju dengan permohonan beliau dan beliau hanya diikat jamin dengan RM 5000 memandangkan beliau telah memberikan kerjasama kepada pihak Polis.
Sewajarnya apa yang Aduka lalui ini memberikan pengajaran kepada kita agar menulis dan berkata dengan betul dan berhemah serta tidak merugikan diri sendiri. Tahniah kepada Aduka yang baru bernikah…

Teringat kisah pernikahan saya. Sehari sebelum pernikahan, saya bertugas atas keta Storm membantu pimpinan lain termasuk Presiden yang berdemontrasi depan kedutaan Denmark kerana isu karikatur menghina Rasulullah dan Isteri-isteri baginda oleh kartunis Denmark. Alhamdulillah, Allah merahmati demontrasi itu dan Denmark memohon maaf dan saya dapat bernikah dengan Isteri pagi keesokan harinya dengan penuh kesyukuran.

Dalam isu menghina Rasulullah dan keluarga baginda, pendirian saya tetap sama seperti dahulu. Tiada kompromi. Dalam kes Almarhum Sultan Johor ini, saya secara peribadi masih tidak berpuashati dengan pendakwaan yang dibuat Polis. Adakah Polis malas untuk buat kerja.

Selepas Aduka dilaporkan, para blogger dan rakan-rakan Facebook juga menyiarkan bukti-bukti bawa Cybertrooper Umno, Papa Gomo juga memfitnah Almarhum Sultan. Pierre Lim dan Gutter Malaysia jelas menghina Sultan. Tetapi hingga kini tiada tangkapan dan siasatan dibuat. Apakah tangkapan Aduka ini bersifat Politik.

Ianya saling tidak tumpah dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin yang menafikan maklumat Azmin bahawa ahli Umno terlibat dalam kes bakar gereja. Bila sebut sahaja ahli Umno, maka secara automatik maklumat itu dinafikan atau tidak dipedulikan.

Dan sampai hari ini kita tidak tahu apa perkembangan kes menghina Sultan Terengganu dalam demo yang dianjurkan oleh Umno. Tapi kita hanya dengar rakyat biasa ditahan dan didakwa dimahkamah kerana hina Sultan Perak.

Begitulah layanan Umno terhadap kes-kes yang dilaporkan. Walaubagaimana pun saya dan pemuda PAS memegang kepada prinsip mencari kebenaran. Siapa jua yang dilaporkan perlu disiasat dan didakwa dengan adil. Saya harap Aduka akan menjadi lebih matang selepas berumahtangga dan melalui pengalaman ini. Kehidupan ini ada peluang kedua selagi kita belum mati, dan kesilapan semalam menjadi inspirasi untuk kita menjadi lebih baik hari ini.

Hina Raja: Penulis blog, Aduka Taruna didakwa
Oleh Darwish Zainal



Seorang penulis blog dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor.

Khairul Nizam Abd Ghani, 29, yang dikenali dengan nama penanya Aduka Taruna, sebelum ini diperintahkan ditahan reman empat hari oleh mahkamah majistret Kota Baharu.

Perintah tahanan reman itu berakhir hari ini.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menghina dengan niat untuk menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat antara jam 7.25 sehingga 9.05 pada 22 Jan.

Khairul Nizam dituduh mengikut Seksyen 233(1)(A)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Masri Mohd Daud mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, hakim Zamri Bakar mengurangkannya sebanyak RM5,000 dengan mempertimbangkan rayuan Khairul Nizam yang akan mengadakan majlis persandingan esok.

Pengantin yang baru sebulan mendirikan rumah tangga itu diwakili peguam Mohd Razlan Jalaludin.

Khairul Nizam kelihatan tenang sepanjang prosiding tersebut. Isterinya turut hadir di mahkamah.

Pemuda itu sebelum ini menyerah diri ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu.

http://syukran.wordpress.com/

Tiada ulasan: