"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu disiplin: Mustafa minta MP Zul tidak heret PAS

G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Jan 27:
PAS minta Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tidak mengheret sama sekali parti itu ekoran keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memutuskan untuk merujuk beliau kepada lembaga disiplin semalam.

Begitu juga, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, pihaknya tidak mahu mencampuri hal ehwal dalaman PKR.

“Soal Zulkifli Noordin adalah soal dalaman PKR. Soal Khalid Samad adalah masalah dalaman PAS, itu terserah kepada PAS (untuk uruskan).

“Zulkifli Noordin adalah ahli PKR, terserah kepada PKR, kita tidak mahu mencampuri urusan PKR... tak perlu campur, tak perlu (juga campur urusan PAS),” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Mustafa memberitahu biasanya parti-parti komponen Pakatan Rakyat tidak akan mencampuri urusan dalaman rakan-rakan mereka dalam ikatan itu.

Kata beliau, jika ada apa-apa masalah berbangkit pihaknya akan membincangkan di peringkat parti masing-masing.

Oleh itu kata beliau, PAS akan menentukan tindakan mereka jika ada-ada isu yang perlu diteliti dalam tindakan Khalid yang terbaru ini.

Ditanya sama ada kes terbaru ini ada persamaan dengan isu Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang juga Exco kerajaan negeri yang disiasat sejak akhir tahun lalu, Mustafa memberitahu ia berkaitan soal pentadbiran kerajaan negeri.

Sejak pertengahan tahun lalu aspek disiplin juga menjadi perhatian kepimpinan PR untuk mengelak ia dijadikan modal serangan Barisan Nasional (BN).

Tahun lalu kenyataan-kenyataan Hasan menjadi perhatian khususnya berkaitan dengan isu jualan minuman keras di Shah Alam dan perjalanan Selcat di negeri itu.

Ia berakhir dengan langkah jawatankuasa pusat PAS merujuknya kepada jawatankuasa disiplin. Keputusan jawatankuasa itu akan diumumkan Jumaat ini.

Selain Hasan turut disiasat ialah Khalid.

Dalam reaksinya kepada The Malaysian Insider semalam Zulkifli berkata beliau

akur dengan keputusan pucuk kepimpinan PKR yang merujuknya kepada lembaga disiplin tetapi sebenarnya beliau menjangkakan keputusan yang lebih “drastik”.

Pada masa yang sama, beliau mahu PAS mengambil tindakan yang serupa terhadap Khalid, Ahli Parlimen Shah Alam yang mengesyorkan agar Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) dikaji semula atas alasan sudah ketinggalan zaman.

“Adalah tidak adil mengenakan tindakan ini ke atas saya seorang sahaja. PAS juga perlu mengambil tindakan seperti ini ke atas Khalid (Yang Dipertua PAS Shah Alam).

“Pakatan Rakyat tidak ada mekanisme untuk berbuat demikian tetapi boleh meminta PAS bertindak ke atas Khalid (menerusi Majlis Pimpinan Presiden),” katanya.

PKR memutuskan untuk merujuk Zulkifli kepada lembaga disiplin kerana mencetuskan kontroversi dengan membuat laporan polis terhadap Khalid.

Lembaga tersebut diminta bersidang dalam tempoh tidak melebihi satu bulan bagi mengkaji, menyiasat aduan dan mendengar penjelasan Zulkifli berhubung tindakannya membuat laporan polis terhadap Khalid berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Zulkifli mendakwa Khalid telah menghina Sultan Selangor, umat Islam dan Dewan Undangan Negeri.

Lembaga disiplin terikat kepada keputusan yang berupa amaran, menggantung keahlian dan memecat keanggotaan.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: