"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zulkifli jawab Zaid

Zulkifli Noordin

Salam 2 all.

Zaid Ibrahim, Ahli MPT PKR dan juga anggota Biro Politik PKR telah mengkritik dan menghentam juga kepimpinan PKR kerana enggan akur kepada kehendak beliau supaya saya disepak keluar daripada PKR, dan sementara menunggu prosiding Jawatankuasa Disiplin bersidang, beliau menuntut saya digantung keahlian.
Saya sebenarnya tidak berminat untuk menjawab kenyataan Zaid Ibrahim ini, kerana pada saya beliau hanyalah seorang opportunist - seorang politikus picisan yang sudah tidak laku. Tetapi kerana menghormati hak membela diri dan hak asasi kemanusiaan; maka saya memilih untuk menjawab beliau. Dan saya yakin saya tidak melakukan apa-apa kesalahan apabila menjawab beliau; kerana kalau mempertahankan dan membela maruah dan integriti saya pun salah, saya tidak tahu apa lagi yang tinggal dalam perjuangan ini!

Beliau mendakwa suara minoriti mengatasi majoriti dalam PKR. Malah beliau menghina pimpinan PKR dengan mendakwa saya diberi "layanan istimewa", malahan "untouchables", yang kononnya saya ini macam "jaguh UMNo", bukannya seorang pejuang Islam!!

Pada saya Zaid Ibrahim ini politikus yang sangat emosional dan keliru dengan kedudukan beliau. Pertama, adakah Zaid tidak faham "natural justice" - hak membela diri yang menjadi antara asas perjuangan PKR. Apakah beliau mahu saya dihukum sebelum diberi peluang membela diri. Dan beliau nak bercakap tentang reform?!

Ternyata Zaid Ibrahim tidak mengerti konsep pertanggungjawaban bersama, atau 'collective responsibility'. Beliau adalah anggota kepimpinan parti dan ahli Biro Politik; iaitu Biro Politik yang bersidang Selasa 26 Februari lepas yang telah berbincang panjang isu saya memfailkan lapuran polis terhadap Khalid Samad. Saya difahamkan kesemua ahli biro yang hadir telah diberikan peluang menyatakan pandangan masing-masing. Setelah semua itu dibuat, saya difahamkan Biro Politik membuat keputusan iaitu:

1. merujuk saya ke Jawatankuasa Disiplin yang akan dibentuk dalam tempoh sebulan bagi menyiasat isu lapuran polis saya terhadap Khalid Samad; dan
2. sementara itu, saya dilarang membuat sebarang kenyataan berkaitan isu lapuran polis tersebut sehingga prosiding selesai.

(Sebenarnya hingga ke saat ini saya masih belum menerima apa-apa butiran keputusan Biro Politik samada secara rasmi ataupun tidak. Apa yang saya tahu hanyalah daripada suratkhabar. Jadi saya sendiri pun tidak pasti apa sebenarnya keputusan Biro Politik tersebut).

Bagaimanapun, sebagai seorang ahli Biro Politik tersebut, yang kebetulan juga seorang peguam, Zaid sepatutnya faham setelah keputusan dibuat Biro, beliau perlu akur dan patuh kepada keputusan tersebut. Jikalau beliau berasa ketidaksetujuan yang teramat sangat terhadap keputusan itu, beliau sepatutnya meletak jawatan sebagai anggota Biro Politik dan barulah membuat apa-apa komen atau pendirian.

Malahan saya berpendapat tindakan Zaid menghentam keputusan Biro Politik yang beliau sendiri ahlinya itu adalah satu "contempt " dan penghinaan terhadap Biro politik tersebut. Sepatutnya beliau dikenakan tindakan disiplin kerana menghina keputusan biro tersebut.

Saya ingin menegaskan walaupun saya mempunyai hubungan baik dengan DSAI, tetapi saya tidak pernah mendapat "protection" atau perlindungan ataupun kedudukan istimewa daripada DSAI. Ini jelas apabila DSAI sendiri membuat kenyataan yang keras terhadap saya dengan melabel saya pelampau, melangkaui batasan parti dan beliau sangat terkilan dengan tindakan saya membuat lapuran polis terhadap Khalid Samad. Apakah itu bukan bukti yang cukup saya tidak mendapat layanan istimewa, apatah lagi dilindungi. Lihat kenyataan YB Azmin dan YB Saifuddin Nasution, kedua-duanya sahabat saya, mereka Naib Presiden dan Setiausaha Agong PKR, tetapi mereka bersikap professional dan mengenepikan hubungan akrab dengan saya dan menegur saya dengan teguran keras dalam isu ini. Dan saya bersikap professional dan berlapang dada menerima kritikan dan teguran mereka. Tidak pulak saya melompat dan terkinja-kinja marahkan mereka!!
Apa yang diputuskan oleh Biro Politik adalah berdasarkan peruntukkan undang-undang dan peraturan undang-undang tubuh PKR, dan berdasarkan hukum keadilan semulajadi. Dan peluang membela diri yang diberikan oleh Biro Politik tersebut saya anggap satu peluang terbaik untuk memberi penjelasan terhadap pendirian saya dalam membuat lapuran polis terhadap Khalid Samad. Dan saya cukup yakin setelah mendengar penjelasan dan bukti yang akan saya kemukakan, Biro Politik dan kepimpinan PKR akan memahami mengapa saya bersikap sedemikian.

Zaid turut mengambil peluang mendakwa saya bukanlah seorang pejuang Islam. Saya tidak pernah mendakwa saya seorang pejuang Islam, walaupun saya cuba sedaya-upaya memperjuangkan isu-isu Islam.

Saya juga didakwa oleh Zaid bertindak saperti 'jaguh UMNo'. Sekurang-kurangnya ada juga pengiktirafan saya ni jaguh. Sedangkan pada saya Zaid Ibrahim hanyalah 'sampah UMNo' yang sudah tidak dterima. Cubaan beliau untuk mendapat kedudukan dalam UMNo bahagian pun ditolak. Pada saya, beliau hanyalah 'barang buangan UMNo' sahaja.

Saya dikatakan tidak sesuai dengan perjuangan reformasi yang hendak dibawa oleh PKR. Saya mahu bertanya kepada Zaid, apa perjuangan beliau?

Setahu saya, beliau adalah antara orang yang paling kuat menyokong UMNo semasa krisis kehakiman 1988 sehingga menyebabkan YAA Tun Salleh Abas dipecat. Beliaulah yang memecah-belahkan Majlis Peguam Malaysia dengan menubuhkan Persatuan Peguam Muslim menyebabkan Majlis Peguam menjadi lemah berdepan dengan krisis tersebut. Dan yang pelik inilah orangnya yang dikompangkan oleh Majlis Peguam sebagai taiko mereka sekarang!!

Beliau jugalah orang yang memfailkan saman terhadap Kerajaan PAS untuk menghalang dan membatalkan perlaksanaan Enakmen Hudud, Qisas & Ta'zir. Saya ingat lagi betapa riuhnya "pejuang-pejuang" PAS memaki hamun beliau. Tapi hari ini boleh pulak duduk sebangku pulak!

Saya nak tanya apa yang beliau buat semasa DSAI dipecat, di'aibkan, dimalukan dan dipenjarakan. Beliau kekal dalam UMNo, malahan beliau masih berebut untuk mendapatkan kedudukan dan jawatan didalam UMNo; hingga bertanding untuk berebut jawatan Ketua Bahagian UMNo.

Beliau adalah anggota kabinet yang paracutkan oleh Pak Lah, dan setelah beliau menyedari beliau tidak diterima, malahan dikritik oleh rakan kabinet, beliau meletakkan jawatan. Itu pun setelah diasak bertalu-talu oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk beliau mendedahkan berapa jumlah wang yang beliau bayar kepada para Hakim yang dipecat. Rekod Hansard Parlimen membuktikan beliau enggan mendedahkan jumlah tersebut, walaupun wang yang diguna untuk membayar para Hakim tersebut adalah wang rakyat; dan sekarang dia bercakap tentang ketelusan dan transparensi!

Sebaliknya saya dari 02 September 1998 sudah bersama DSAI. Dihari rakan dan taulan DSAI cabut lintang pukang meninggalkan DSAI setelah dipecat, saya antara orang yang kedepan mempertahankan DSAI, sehingga ditahan ISA, sehingga lokap polis menjadi rumah kedua saya. Sayalah antara peguam, yang setia bersama menemani DSAI dalam penjara bersembang dan bercerita untuk menghilangkan kesunyian dibalik tirai besi. Sehingga firma guaman saya hampir bungkus, sedangkan firma Zaid sibuk mendapat menafaat menjadi peguam untuk syarikat-syarikat milik UMNo saperti UEM dan lain-lain. Dan saya membela dan mempertahankan DSAI bersama 8 peguam hebat lain tanpa mendapat imbuhan walau satu sen pun, kerana kami melakukannya atas prinsip perjuangan!

Apa pun, nasihat saya kepada Zaid, 'walk your talk and don't double talk'! Kalau beliau tidak mengerti apa itu natural justice, kalau tidak faham apa itu semangat pertanggungjawaban bersama, kalau beliau tidak menginsafi erti perjuangan, eloklah duduk didalam bilik aircon pejabat guaman beliau yang tersergam indah. Beliau bercakap tentang ke'adilan; saya nak tanya apa jenis ke'adilan bilamana saya diarah tutup mulut, tetapi mereka boleh terus mengganyang dan menghentam saya. Sebagaimana yang dibuat oleh Mahathir terhadap DSAI; setelah ditutup mulut DSAI, digari, dipukul, dimalukan, di'aibkan, dipenjarakan..Mahathir terus mengganyang dan melanyak DSAI tanpa belas ihsan. Dan dimana Zaid Ibrahim masa itu?!!

Adios amigos..grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
13 Safar 1431
28 Januari 2010

Tiada ulasan: