"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Teruskan politik di masjid

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tetap menggunakan institusi masjid bagi tujuan berpolitik walaupun ia ditentang oleh sesetengah pihak sebelum ini.

Menurutnya, tindakan itu selaras dengan perbuatan Nabi Muhammad (SAW) yang menggunakan masjid untuk berpolitik serta aktiviti lain yang bermanfaat kepada masyarakat.

Dalam masa yang sama, Mursyidul Am Pas itu turut mengecam mereka yang melarang untuk menggunakan masjid untuk berpolitik yang menurutnya meniru budaya masyarakat Eropah.

“Kita ikut kerana Nabi Muhammad (SAW) guna masjid untuk berpolitik, kalau tidak percaya di mana Nabi lantik pegawai, merangka strategi perang, berubat orang sakit menerima rombongan luar, itu semua berlaku dalam masjid, orang yang tolak hanya mengikut budaya Eropah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Masjid Ar Rahman di sini semalam.

Sebelum ini isu penggunaan masjid untuk berpolitik menjadi perhatian umum apabila Nik Aziz ketika menjawab soalan wartawan semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor mempertahankan bahawa institusi itu boleh digunakan untuk tujuan berpolitik.

Terdahulu sebelum itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan masjid di negeri Selangor tidak digunakan oleh mana-mana pihak untuk tujuan politik, bagi memelihara perpaduan.

Bagaimanapun, Nik Aziz menafikan bahawa beliau telah membuat kenyataan yang mempertikai perintah Sultan Selangor tersebut sebaliknya hanya menjawab persoalan dari wartawan.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz berkata isu mengenai mempercepatkan penyokong bukan Islam mengundi dalam pemilihan parti itu harus diselesaikan mengikut kaedah dan peraturan yang ada.

-SinarHarian-

Tiada ulasan: