"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Judi bolasepak, rakyat terus protes...

Cuaca mendung dan hujan di beberapa tempat tidak menghalang Pemuda PAS hari ini menyambung semula demontrasi 'pemanas badan' membantah keputusan kerajaan meluluskan lesen judi yang dibuat sejak minggu lalu.

Kali ini, ia diteruskan di beberapa buah negeri lagi selepas solat Jumaat.

Minggu lalu, lima buah negeri - Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan - mengadakan
bantahan terhadap tindakan kerajaan itu.

Kemuncak
bantahan hari ini di negeri-negeri adalah di rumah Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin di Bachok sebelum bantahan besar-besaran di Istana Negara yang dijadual pada 3 Julai depan.

Di Kedah, kira-kira 1,000 orang termasuk pemimpin politik dan penyokong PAS membanjiri Dataran Zero di Sungai Petani bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan pemberian lesen judi.

'Tarik balik lesen judi'

Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Yahaya berkata demontrasi itu berlangsung selama 45 minit bermula jam 2.15 petang di mana beberapa tokoh PAS dan NGO turut hadir.

Ketika dihubungi
Malaysiakini, Ahmad berkata dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa PAS menentang keputusan kerajaan meluluskan lesen judi sukan dan mendesak kerajaan menarik balik keputusannya itu.

Turut menyampaikan ucapan adalah Timbalan Speaker Izzat Shauki, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohamad Noor, Pengerusi Gerakan Mansuh Judi (GMJ) Nasir Zakaria dan wakil dari Teras Keupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid dan wakil dari PSM.

Turut hadir dalam bantahan tersebut dua orang ADUN iaitu Abdullah Jusuh (Pantai Merdeka) dan Yahya Abdullah bagi DUN Jeneri.

Menurut Ahmad, ada di kalangan hadirin juga membawa poster antara lain berbunyi "Kita Bantah Judi Bola".

Perhimpunan tersebut dikawal oleh kira-kira 10 anggota polis dan tiada kekecohan atau tangkapan dibuat, tambahnya.

Manakala di Perlis, lebih dari 500 orang termasuk penyokong parti berkumpul di perkarangan Masjid Putra Kangar melaungkan 'Tolak Judi' sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Ketua Pemuda PAS negeri Yaakob Abu Seman berkata bantahan tersebut berlangsung selama 40 minit bermula jam 1.50 petang, selepas orang ramai menunaikan solat Jumaat.

Rakyat benci judi

Mereka mengibarkan kain rentang antaranya berbunyi "Rakyat benci judi dan pemimpin judi".

Katanya turut hadir adalah beberapa pimpinan PAS negeri termasuk pesuruhjaya PAS Hashim Jasin dan beberapa pemimpin Pemuda PAS dan pemimpin mahasiswa.

"Kita harap pemimpin Umno dapat menarik balik pemberian lesen judi ini," katanya sambil menambah ucapan mereka itu diselangi dengan ucapan takbir dan reformasi.

Menurut Yaakob, seramai 10 orang polis berada di situ bagi mengawal perhimpunan itu yang diadakan tanpa sebarang kekecohan ataupun tangkapan.

Di Selangor bantahan yang sama dibuat di beberapa masjid dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Zaidy Abdul Mutalib mengetuai kira-kira 500 orang membantah kelulusan lesen judi di Masjid Country Home Selayang.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Zaidy berkata bantahan tersebut berlangsung selama 30 minit bermula kira-kira jam 2.10 petang di perkarangan masjid berkenaan.

Katanya selain itu, terdapat dua lagi protes iaitu di Masjid Besar Kuala Selangor dan di Masjid Besar Batu 14 di Hulu Langat.

Bencana Allah

Dalam ucapannya, Ahmad Zaidy berkata judi itu adalah haram di sisi Islam kerana termaktub dalam surah al-Maidah ayat 90 yang meminta umat Islam menjauhi perbuatan tersebut.

Ini kerana, katanya, judi memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan mendedahkan kepada bencana Allah.

Menurutnya lagi, mereka juga turut mengibarkan dua kain rentang yang berbunyi "Judi bola tetap haram" dan "Katakan ya untuk bola, Katakan tidak untuk judi" serta poster yang bertulis "Kami main bola, bukan main judi".

Sebanyak 500 risalah membantah kelulusan kerajaan memberi lesen judi turut diedarkan kepada orang ramai.

Tiada kekecohan yang berlaku di masjid tersebut, kata Ahmad Zaidy yang juga ketua Pemuda PAS kawasan itu.

Di Melaka pula, Ketua Pemuda PAS negeri Kamarudin Sidek berkata kira-kira 500 orang hadirin termasuk penyokong PAS turut serta dalam bantahan lesen judi.

Tiada kekecohan

Menurutnya, bantahan itu berlangsung selama hampir setengah jam bermula 1.50 petang dengan dikawal kira-kira 20 anggota polis di masjid negeri, Masjid Al-Azim di Bandar Melaka

Menurut Kamarudin, beberapa pimpinan PAS dan PKR menyampaikan ucapan membantah keputusan kerajaan itu.

Antara mereka ialah Pesuruhjaya PAS negeri Abdul Ghani Abdul Rahman dan timbalannya, Adly Zahari.

Turut hadir adalah exco Pemuda PAS negeri serta wakil dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM).

Dalam perhimpunan tersebut, mereka mengibarkan beberapa kain rentang yang antaranya berbunyi "Ya Untuk Bola, Tidak untuk Judi ".

Tiada kekecohan atau tangkapan dilaporkan.

-malaysiakini-

1 ulasan:

waksab berkata...

Satu gambar menceritakan seribu pengertian..namun puak2 tu memang tak reti mentafsir gambar dan juga undang-undang Islam yang nyata menolak judi dan arak.Selama 63tahun Malaysia bergelumang dengan judi dan segala hasilnya telah menjadi darah daging rakyat Malaysia membuatkan segala kehancuran sosial yg mengerikan telah terjadi di Malaysia.Mahukah kita menambah lagi kehancuran generasi kita yang akan datang?Fikir fikirkan lah...http://waksab.blogspot.com