"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Judi bola: Pengarah Jais diminta nyata pendirian

Dzulfikar Mashoor
SHAH ALAM, 26 Mei:
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi diminta menyatakan pendirian peribadi dalam isu kerajaan Pusat meluluskan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad
(gambar), Khusrin sepatutnya tidak mengambil sikap berdiam diri kerana hukum berjudi jelas haram di sisi Islam.

Sehubungan itu, Khalid mencabar Khusrin mengambil sikap lantang dengan mengkritik pemimpin Umno dalam isu itu sebagaimana yang pernah dilakukan dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan masyarakat bukan Islam suatu ketika dahulu.

“Dalam isu judi, hukumnya haram mutlak, kenapa Khusrin tidak naikkan sepanduk sebagaimana beliau menentang pendirian PAS, Pakatan Rakyat dulu,” jelas beliau di pejabatnya, petang ini.

Disebabkan Khusrin masih tidak menyatakan penderian sejak isu judi tersebut meletus, Khalid turut mempersoal kredibilitinya sebagai penjawat awam di Jais sendiri.

“Adakah diam Khusrin ini disebabkan kesetiaannya pada Umno serta masih terkenang jawatannya setiausaha politik bagi Muhammad Muhd Taib (bekas Menteri Besar) suatu ketika dulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa Khusrin sebagai dalang Umno dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Ini kerana, dakwaannya, Khusrin bertanggungjawab menghalang para pendakwah berkhutbah di masjid.

Namun, selepas beliau sendiri mendedahkan gambar kain rentang Majlis Bacaan Yaasin Memenangkan Calon BN, Khusrin dilihat mengambil sikap berpeluk tubuh, seakan tidak mahu mempertikai Umno BN yang cuba membawa politik kepartian ke masjid.

Selain mempertikai Khusrin, Khalid turut mendesak Jais, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta Mufti Selangor, Datuk Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid supaya menyuarakan protes terhadap pemimpin Umno negeri dan Pusat.

Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, pihaknya turut mengutus surat memohon sembah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya Tuanku Sultan perkenan untuk mempengaruhi Majlis Raja-Raja Malaysia mendesak kerajaan membatalkan lesen judi bola secepat mungkin.

Tiada ulasan: