"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muktamar: Perwakilan bebas bersuara

Yusri Amin
BACHOK, 28 Mei:
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (gambar) berkata, muktamar tahunan parti itu memberi ruang kebebasan bersuara kepada ahli yang tidak sama dengan apa yang dilaksanakan Umno pada perhimpunan agungnya.

Ini, katanya kerana ahli Umno mesti berucap mengikut apa yang telah ditentukan sama ada apa yang boleh dan tidak boleh diperkatakan.

Sehubungan itu, katanya PAS memberi ruang kepada para perwakilan mengemukakan pandangan masing-masing.

“Ruang kebebasan yang diberikan itu tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk memperbaiki serta memperkukuhkan parti.

“Pada mukatamar akan datang, PAS akan memberikan kebebasan kepada perwakilan untuk mengemukakan usul atau perbahasan dan perdebatan,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian Masjid Al-Rahman di sini semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok demikian semasa diminta mengulas mengenai Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang akan berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) bermula 11 Jun ini.

Mengenai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), jelasnya ahli yang telah mendaftar seramai 20,000 orang akan menjadi satu dewan yang kuat untuk memberi sokongan kepada PAS khususnya dalam kerja-kerja pilihan raya.

“Kita meyakini bahawa sokongan mereka itu akan bertambah dan akan datang untuk organisasi yang lebih kuat,” katanya.

Menurutnya, melalui DHPP, sokongan yang diterima daripada non-muslim semakin meningkat, bahkan kerjasama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bertambah kuat.

“Penubuhan DHPP adalah sebuah dewan untuk kita memberikan satu ruang kepda orang bukan Islam untuk memberi sokongan secara lebih bersifat organisasi.

“Kita menginstitusikan sokongan ini sehingga suara mereka dapat kita dengar secara lebih berinstitusi, bukan hanya sebagai sebuah kelab yang mungkin sana sini saja suara-suara mereka, tetapi kita nak institusi nasionalkan sokongan mereka itu, dengan suara mereka itu kita dengar secara lebih formal, dengan peraturan yang telah kita tetapkan,” katanya.

Justeru, beliau tidak melihat PAS bergerak sendirian, bahkan sentiasa memperkukuhkan Pakatan Rakyat untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“Kita konfiden dengan sokongan yang semakin bertambah daripada orang bukan Islam, akan memberi satu kekuatan baru kepada PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya, insya Allah,” ujarnya.

Tiada ulasan: