"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PKR adakan Kongres Anak Melayu tapi nafi ia perkauman

KOTA BARU, 29 Mei: Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan Kongres Anak Muda pertamanya dalam waktu terdekat ini, tetapi menyangkal tanggapan ia sebagai sesuatu bersifat perkauman dan bertentangan dengan dasar perjuangan parti.

Pertemuan itu menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin bertujuan menarik pengundi-pengundi Melayu yang PKR sendiri mengakui masih kurang berbanding sokongan Cina dan India.

Arah aliran ini disaksikan ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu.

Justeru, Kongres Anak Melayu yang pertama akan diadakan di Selangor pada Julai ini sebelum ia dikembangan ke negeri-negeri lain.

“Undi orang Melayu telah merosot sedikit, jadi kita perlu adakan program-program bagi memastikan pengundi-pengundi Melayu akan memahami perjuangan PKR,” kata beliau ketika ditemui di akhir Kongres Nasional Keenam AMK di sini.

Dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider Selasa lalu, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyifatkan persepsi orang Melayu semakin memihak kepada Pakatan Rakyat, perikatan berusia dua tahun ini sedang menyusun strateginya memfokus pengundi Melayu luar bandar dengan menembusi kubu Umno pada pilihan raya umum ke-13.

PR berpendapat petanda-petanda sokongan orang Melayu kepadanya makin jelas di Hulu Selangor dan Sibu walaupun ramai selama ini beranggapan ia banyak bergantung pada sokongan Cina dan India.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, ia kini semakin mendekati pengundi-pengundi Melayu, selain kaum-kaum lain meskipun komponen utama BN, Umno telah menyemai pemikiran “takut dan khuatir” di kalangan orang Melayu sehingga menyebabkan mereka menolak PR selama ini.

“Saya merasakan lapangan persaingan lebih (tertumpy) kepada orang Melayu,” kata beliau.

Justeru Shamsul Iskandar menambah, pihaknya terpaksa menggunakan saluran-saluran seperti kongres dan forum untuk menyediakan pemahaman kepada orang ramai khususnya masyatakat Melayu.

Malah jelas Shamsul Iskandar, orang ramai debat publik akan membolehkan komunikasi dua hala antara parti dan penyokong-penyokong kalangan orang Melayu.

Beliau menambah, langkah mengadakan kongres membabitkan orang Melayu tidak akan menyisihkan parti itu daripada penyokong kaum-kaum lain.

“Kami adalah sebuah parti yang tidak mengabaikan komuniti-komuniti lain dan kami akan berjuang untuk semua kaum.

“Bagaimanapun masyarakat Melayu memerlukan satu bentuk jaminan, jadi kita perlu adakan platform untuk membahaskannya secara terbuka,” katanya.

Shamsul Iskandar juga berkata, pihaknya juga ingin tahu apakah respons orang Melayu memandangkan orang Cina dan India telah memperlihatkan sokongan kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Ketua AMK Selangor Khairul Anuar yang juga Naib Ketua AMK pusat memberitahu, sebenarnya pihaknya tidak tahu apa sebab sebenar yang menyebabkan orang Melayu takut dengan PKR.

“Kami hendak mendengar masalah membabitkan pengundi Melayu setiap lapisan... mereka yang bekerja, di Felda dan di universiti,” katanya.

“Kami ada masalah-masalah membabitkan orang Melayu, jadi kami mahu mengatasinya. Kami tidak mahu lari daripada masalah,” katanya sambil menambah pihaknya mahu menjadi sebuah parti lebih prakmatik.

Khairul juga menekankan bahawa parti itu cuba untuk membuktikan bahawa PKR juga pro-Melayu.

“Secara peribadi saya tidak fikir ini satu bentuk politik perkauman. Realiti ialah orang Melayu adalah kumpulan masyarakat terbesar dan majoriti,” katanya lagi.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: