"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li Khianati Perjuangan Royalti Jika Terima Pelantikan Umno

KOTA BAHRU 2 OKT: Penerimaan sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Umno Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, bermakna Tengku Razaleigh Hamzah mengkhianati perjuangan beliau sendiri.

Bercakap kepada TV Selangor, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man percaya persetujuan Ahli Parlimen Gua Musang itu akan menjejaskan usaha beliau untuk mendesak Umno memulangkan royalti minyak kepada rakyat Kelantan.

"Kalau dia (Tengku Razaleigh) terima, maknanya dia menentang apa yang diperjuangkan beliau selama ini berhubung kegagalan Umno BN menyerahkan royalti minyak," katanya ketika dihubungi dari Shah Alam, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan dan persetujuan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Jentera Umno-BN DUN Galas, malah mencadangkan beliau sebagai calon.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh melalui twitter menyatakan belum membuat sebarang keputusan, sekaligus menafikan penerimaan jawatan berkenaan.

Selain isu royalti minyak, Tuan Ibrahim berkata penerimaan Tengku Razaleigh juga akan membawa pertembungan idea bertentangan dalam beberapa isu ekonomi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Pengarah Jentara Pilihan Raya Kecil Pas DUN Galas itu berkata keputusan Umno BN memilih Tengku Razaleigh bertujuan memusnahkan karier politiknya dan ia merendah-rendahkan martabat bekas Presiden Semangat 46 itu.

Tuan Ibrahim berkata, Pas tidak bimbang jika Tengku Razaleigh menerima jawatan itu, bahkan bertanding di DUN Galas kerana rakyat Kelantan selesa dengan pentadbiran kerajaan Pas.

"Rakyat Kelantan sudah terima Pas selama 20 tahun, malah pembangunan di Gua Musang pun hasil usaha Pas," katanya.

Ditanya jika Tengku Razaleigh menang DUN Pas sama ada sebagai pengarah jentera mahupun calon, beliau yakin ia tidak menjejaskan parti itu, malah lanskap politik di Kelantan tidak berubah.

Tiada ulasan: