"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syarikat terlibat rasuah Scorpene dapat projek LRT Ampang

Mohd Martin Kahar 
PETALING JAYA, 13 Julai: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan, syarikat Thales yang dikaitkan dengan rasuah dalam urusniaga Scorpene, terbabit dalam gabungan syarikat Konsortium George Kent-Wijet-Thales yang dianugerahkan projek tambahan LRT Ampang bernilai RM1 bilion.

Menurut Rafizi, Thales diberi keistimewaan menyertai dua lagi konsortium lain iaitu Samsung-LG-Thales dan Colas-CMC-Thales dalam bidaan bagi projek tersebut.

“Thales adalah syarikat Perancis yang kini disiasat kerajaan Perancis atas tuduhan membayar rasuah RM144 juta kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak dalam pembelian Scorpene.
“Kehadiran Thales sebagai syarikat utama dalam tiga konsortium pembida bagi projek tambahan LRT Ampang ini menimbulkan pelbagai persoalan baru mengenai hubungan rapatnya dengan Najib,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.

Rafizi turut mendedahkan kelapan-lapan pembida berdasarkan laporan penuh penilaian teknikal oleh perunding Halcrow yang dilantik kerajaan.

Menurut laporan itu, Konsortium Balfour Beatty-Invensys merupakan pembida teratas dengan markah 80.10 peratus, diikuti Emrail-Leighton-Ansaldo (72.73), Siemens (68.84), Samsung-LG-Thales (65.85), George Kent-Wijet-Thales (55.17), Colas-CMC-Thales (51.84), Posco-Sojizt-Daewo (50.88) dan SNC-WW-Bombardier (43.61).

Rafizi berkata, berdasarkan amalan pemberian tender, tiada syarikat yang dibenarkan menyertai lebih satu bidaan bagi memberi peluang sama rata.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku kepada Thales kerana syarikat tersebut pernah memberi komisen tinggi kepada Terasasi, sebuah syarikat yang dimiliki penasihat kanan Najib, Abdul Razak Baginda dalam urusniaga pembelian Scorpene oleh Malaysia.

Beliau menganggap campur tangan Najib membenarkan Thales menjadi pembida dalam tiga konsortium ini sebagai pengkhianatan kepada rakyat dan juga syarikat pembida lain.

Tiada ulasan: