"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS arah Nasha, Nasrudin diam

Amirul Azam Zulkafli  
PETALING JAYA: PAS melarang ahli Parlimen Bachok yang juga bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi daripada mengeluarkan kenyataan lebih lanjut mengenai pendirian Karpal Singh yang menentang hukum hudud dilaksanakan jika berjaya menawan Putrajaya.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kenyataan balas yang dikeluarkan oleh kedua-dua mereka.

Beliau memberi respon kepada kenyataan yang disifatkan beliau agak melampaui batas.

“Komen oleh mereka berdua tidak melampau, tidak betul juga jika kita (PAS) hanya berdiam diri tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan seolah-olah bersetuju dengan Karpal, ia sebagai menyatakan pendirian. Kenyataan Karpal telah mengakibatkan Nasha dan Nasruddin menyatakan pendapat mereka.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk mereka berdua tidak menambah apa-apa lagi kenyataan untuk mengelakkan kekeliruan dan isu ini diperbesarkan lagi, tambahan pula Mursyidul Am (Datuk Nik Aziz Nik Mat) sendiri telah menyatakan pendirian PAS dalam hal ini”, katanya ketika dihubungi hari ini.

Disamping itu, Datuk Tuan Ibrahim berpendapat, Karpal mestilah menjaga sensiviti apabila membuat kenyataan berkenaan hukum hudud kerana isu berkaitan agama adalah sensitif kepada umat Islam dan agama-agama lain.

Keterlaluan

Nasrudin sebelum ini mendakwa Karpal semakin keterlaluan kerana cuba merendahkan dan mempertikaikan keupayaan hukum hudud dalam mengatasi jenayah. Beliau juga berkata, pendekatan Karpal yang juga Pengerusi DAP itu bakal berhadapan dengan kemarahan umat Islam.

Nasharuddin pula menggesa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) kerana DAP menolak hukum hudud daripada dilaksanakan.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai Nasharuddin yang akan dihadapkan ke Majlis Syura kerana kenyataan yang dibuatnya, Tuan Ibrahim berkata, bukan dibicarakan atau diadili, tetapi hanya meminta penjelasan lanjut sahaja.

“Nasharuddin hanya dipanggil untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataannya yang menggesa PAS keluar dari PR sahaja. Isu beliau bergambar dan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Makkah tiada kena mengena kerana ia adalah perkara biasa untuk wakil rakyat bertemu.

“Kemungkinan Nasharuddin akan diminta memberika penjelasan lanjut kepada Majlis Syura’ pada mesyurat Pusat PAS yang akan bermula pada bulan depan”,katanya.

Tiada ulasan: