"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya kembali ke Selangor untuk mandi, di Kuala Pilah tidak ada air

Aspan Alias
Pagi tadi saya menziarahi ibu saudara saya dikampung kelahiran saya. Sejak ibu saya pergi, saya jarang-jarang sekali balik ke kampung kelahiran saya di Sg Jelutong, Kuala Pilah. Tetapi arwah ibu saya berpesan supaya saya tidak mengambil ringan terhadap ibu saudara saya itu jika ibu saya sudah tiada di dunia ini.

Saya juga menziarahi bapa saudara saya di sebelah bapa di Kampung Tapak. Hanya seorang sahaja bapa saudara di sebelah bapa saya masih hidup maka saya sangat bergembira berjumpa beliau di hari dan bulan yang baik ini.

Tetapi seperti biasa sejak dari dahulu hingga sekarang dikampung saya itu selalu keputusan bekalan air. Kali ini saya sangat berharap-harap untuk dapat merasakan bekalan air dengan secukupnya apabila melawat ibu saudara dan bapa saudara saya itu.

Tetapi nyata harapan saya itu tidak kesampaian. Seperti hari raya yang sebelum ini sejak begitu lama air sentiasa menjadi masalah di Kawasan DUN Juasseh ini. Saya terus sahaja terfikir kenapa cerita tentang kekurangan air di Selangor, Kuala Lumpur dan putrajaya yang belum pun berlaku, kenapa isu air di Kuala Pilah ini yang sudah menjadi perkara yang lumrah sejak begitu lama tidak diperbesarkan?

Saya terdengar Menteri Besar NS pernah berkata yang NS tidak mempunyai masalah untuk menjual air ke Selangor, tetapi beliau (MBNS) tidak menyedari yang NS sudah menghadapi krisis air ini semasa perayaan seperti ini sudah berlarutan begitu lama. Elok Mohammad selesaikan kes kekurangan air di NS ini dahulu sebelum hendak menjual air kepada mana-mana pihak.

Oleh kerana masalah keputusan air dikampung asal saya itu maka saya kembali ke rumah saya di Selangor yang masih mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi. Saya cadangkan agar Jawatankuasa Khas, tentang isu air yang dipengerusikan oleh TS Muhy agar memasukkan isu air di NS sebagai agenda dalam mesyuarat J/K itu kerana isu keputusan bekalan air di Kuala Pilah merupakan isu yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun dahulu.

Hari ini adalah pengalaman biasa setiap tahun yang saya hadapi dikampung saya itu, maka saya terpaksa kembali ke Subang Jaya di dalam negeri Selangor yang mempunyai bekalan air bersih yang masih tidak terganggu itu.

Saya baru sahaja mandi manda dengan selesa di sebuah negeri yang di isukan bekalan air bersih oleh pihak yang berkepentingan politik itu.

1 ulasan:

fatin alias berkata...

tepat sekali..orang selangor sibuk bertakbir dihariraya..oghang Kuala Pilah sibuk tunggu air malam ghayo samapai pukul empek pagi..muhamad..muhamad .apo kau buek nih..