"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Barisan Exco S’gor termasuk empat muka baru

SJamilah Kamarudin 
PETALING JAYA: Selangor mengemukakan empat muka baru menerajui pentadbiran Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi penggal 2013-2018, dua daripada DAP dan masing-masing satu daripada PKR dan PAS.

Mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah V Ganabatirau, Dr Daroyah Alwi (Sementa), Ketua Pemuda PAS Selangor Sallehen Mukhyi (Sabak), serta bekas Speaker Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang).

Enam yang masih kekal adalah Iskandar Samad (Chempaka), Dr Halimah Ali (Selat Kelang), Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan), Rodziah Ismail (Batu Tiga), serta Elizabeth Wong Keat Ping (Bukit Lanjan).

Barisan Exco ini adalah senarai yang mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menggunakan formula 6:4, iaitu enam Melayu dan empat bukan Melayu.

Antara enam Exco Melayu, empat daripadanya PAS dan dua PKR, manakala bagi bukan Melayu tiga daripada DAP dan seorang PKR.

Calon Exco ini dilihat hadir ke Istana Alam Shah, Klang pagi tadi untuk raptai sebelum upacara rasmi angkat sumpah dan ikrar akujanji dihadapan Sultan Selangor esok pagi.

Semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan menghadap Sultan Selangor bagi mendapat perkenan barisan Exco yang dikemukakannya sejak minggu lalu.

Tiada ulasan: