"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa PAS tidak mahu ‘memikat’ bekas ADUN Umno?

Ian McIntyre
KOMEN: Pada masa ulasan ini ditulis, kebuntuan politik di Terengganu berada pada tahap Barisan Nasional (BN) memiliki 15 kerusi negeri, Pakatan Rakyat (15) dan dua Bebas.

Barisan adalah gabungan pemerintah persekutuan, yang menghadapi tekanan kerana kos sara hidup yang meningkat dan kepimpinan yang lemah, manakala Pakatan diselar kerana kekurangan kata sepakat mengenai undang-undang "hudud".

Oleh itu tidak hairanlah bahawa dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said memilih untuk menjadi calon bebas dan bukannya kekal dengan BN atau menyertai Pakatan.

Kedua-dua kumpulan politik ini kini "bermasalah", yang menyumbang kepada keadaan menyedihkan di negara ini, yang terasa bahang selepas kehilangan pesawat MH370 di tengah-tengah ekonomi yang lembap.

Terdapat sejumlah 32 kerusi DUN di negeri pantai timur itu – yang terkenal kerana minyak luar pesisirnya, penyu dan Pulau Perhentian.

Tetapi tidak seperti penyu yang merangkak perlahan untuk menetaskan telur, sandiwara politik di negeri ini telah tercetus dan bergerak dengan kelajuan F1.

"Ia bersifat cair. Rundingan dan perbincangan adalah sengit. Kami berharap mendapatkan status menang-menang. Kita tahu PAS dan istana sedang memerhatikannya dengan teliti," kata seorang sumber dalaman BN kepada theantdaily.

Sewaktu rencana ini diterbitkan, mungkin terdapat lebih banyak lagi perubahan, yang sama ada akan menyelesaikan krisis ini atau memanjangkannya.

Ia juga turut sengit di peringkat Parlimen – BN dan Pakatan masing-masing mempunyai empat kerusi.

Ini memaksa pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk mencadangkan bahawa jumlah kerusi pilihan raya harus diganjilkan dan bukannya genap di negeri ini.

Namun satu perkara jelas – BN mungkin kehilangan negeri ini jika ia menjalankan pilihan raya baru, dan jika mereka berkeras memerintah sebagai kerajaan minoriti, mereka hanya akan mencetuskan krisis perlembagaan, yang mungkin akan membawa kepada campur tangan undang-undang.

PAS berpeluang untuk merebut kuasa di negeri yang mereka hilang pada tahun 2004, kerana BN sedang berpecah, dan kebanyakan pengundi kawasan pedalaman sedang bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat.

Ia bukannya rahsia bahawa Ahmad tidak sehaluan dengan Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar sebelumnya, kerana Idris dikatakan rapat dengan Perdana Menteri.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi BN mengelakkan pilihan raya negeri kerana jika mereka kehilangan Terengganu, mereka juga boleh menghadapi pertelagahan undang-undang, contohnya seperti hak royalti minyak negeri.

Tambahan pula, BN dan secara khususnya Umno mungkin kehilangan sumber pengundi mereka dari kawasan pedalaman. Kelantan dikatakan lebih ‘meriah’ daripada Terengganu.

Satu-satunya saguhati adalah Terengganu menghasilkan lebih banyak keropok berbanding negeri jiran mereka.

Tetapi jangan salah sangka, Terengganu mempunyai persamaan besar dengan Kelantan kerana kedua-dua negeri ini adalah negeri asal kepada tokoh pemimpin PAS.

Kelantan memiliki penasihat rohani, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala Terengganu adalah negeri asal presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali.

Oleh itu, adalah satu misteri yang besar sekarang mengapa PAS tidak berusaha menarik bekas ADUN Umno ke pihak mereka.

Sebaliknya, mereka lebih suka menjalankan pilihan raya negeri baru.

Walaupun pendirian mereka mulia, parti Islam ini secara logiknya harus menggoda ADUN ini terlebih dahulu daripada berkempen sekali lagi bagi mendapatkan undi.

PAS tidak berminat menarik ADUN bebas ini, termasuk Ahmad untuk membentuk kerajaan negeri yang baru, isytiharkan pesuruhjaya PAS negeri baru, Satiful Bahri Mamat.

Sebaliknya, Satiful Bahri yang juga merupakan ADUN Paka mengatakan PAS lebih berminat menjalani pilihan raya baru, tetapi mengapa?

Isu itu juga dapat diselesaikan jika PAS bergerak dan mengambil kesempatan terhadap kelebihan yang ia sedang miliki dengan jelas di negeri ini.

Sebaliknya, bola ditendang kembali ke kawasan BN.

Tidak ada persoalan besar tentang mengapa Ahmad mengambil keputusan keluar dari Umno, rahsia terbesar kini adalah mengapa PAS bersifat pasif sewaktu mereka diberi peluang untuk memenangi semula negeri ini.

Tiada ulasan: