KOSMO!

ANGGOTA polis dan pegawai perlumbaan memeriksa kereta yang merempuh orang ramai di sepanjang Jalan AP Mokoginta di wilayah Kotamobagu, Sulawesi Utara, semalam. - B-Universe/Juandri Paputungan
JAKARTA – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan sembilan yang lain parah selepas sebuah kereta yang bertanding dalam perlumbaan ‘drag’ terbabas dari litar dan merempuh penonton di Kotamobagu, wilayah Sulawesi Utara, lapor laman berita Jakarta Globe.
Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Honda Jazz yang dipandu oleh Tian Ngantung daripada pasukan Pangeran 05 Mcloe dalam kategori free-for-all bagi Kejohanan Kotamobagu 2026.
Laporan awal menyatakan, kereta berkenaan itu melengkapkan pemanduannya tanpa sebarang masalah, namun gagal dikawal sejurus melintasi garisan penamat apabila memasuki zon pembrekan sepanjang kira-kira 100 meter.
Kenderaan tersebut kemudiannya tersasar dari litar dan merempuh penonton yang berkumpul di sepanjang Jalan AP Mokoginta, daerah Kotamobagu Timur.
Pihak berkuasa tempatan dan penganjur acara mengesahkan pada kira-kira jam 9 malam (waktu tempatan) bahawa tujuh orang terkorban, manakala sembilan yang lain sedang menerima rawatan perubatan kerana cedera parah.
Punca kemalangan masih belum dipastikan secara rasmi.
Dalam pada itu, pengerusi jawatankuasa penganjur Kotamobagu 2026, Lucky Sugeha, berkata pihak penganjur akan bertanggungjawab atas akibat kemalangan tersebut dan akan menanggung kos perubatan mereka yang masih dirawat di hospital.
Susulan kemalangan, pertandingan tersebut telah dihentikan. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan