"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang tertentu cemas? Sirul Azhar Umar yang didapati bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu menghilangkan diri

Peguam, Kamarul Hisham Kamaruddin mengakui bahawa beliau terputus hubungan dengan anak guamnya, Sirul Azhar Umar - yang didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu - sejak enam bulan lalu.
Sirul tidak muncul ke mahkamah dalam pendengaran keputusan rayuan kes itu di Mahkamah Persekutuan pagi ini.

Kamarul berkata, beliau terputus hubungan dengan anak guamnya itu sejak pendengaran kes tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun hingga 25 Jun 2014 - dan tidak tahu menahu di mana kedudukan anak guamnya kini.
"Kali terakhir saya dihubungi anak guam saya, mungkin seminggu selepas pendengaran di Mahkamah Persekutuan (dari 23 Jun hingga 25 Jun, 2014), selepas itu (saya tidak dapat) menghubungi (Sirul),” katanya.

"Saya tidak tahu langsung di mana dia berada.

"Berdasarkan perhubungan terakhir dengannya, saya langsung tiada asas untuk mengatakan bahawa beliau berkelakuan aneh. Saya ada sebab untuk percaya bahawa beliau akan hadir untuk (keputusan) hari ini,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau tidak akan menyifatkan Sirul “hilang” dan hanya menyebut bahawa pegawai polis itu tidak berada di mahkamah hari ini kerana gagal menerima notis untuk hadir ke mahkamah.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan apabila mendapati Sirul dan seorang lagi tertuduh Azilah Hadri bersalah membunuh Altantuya dan mengembalikan hukuman mati terhadap mereka.

Mahkamah turut bersetuju dengan permohonan pendakwaan untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas anggota pasukan elit polis itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan menjejaki Sirul yang juga bekas anggota Unit Tindakan Khas.

Dalam kiriman SMSnya kepada Malaysiakini, Khalid berkata pihaknya juga akan mengenalpasti sama ada Sirul bertindak keluar daripada negara ini selepas mahkamah rayuan membebaskan beliau.

"Sebaik sahaja mahkamah mengeluarkan waran tangkap, kami akan menjejakinya dan memaklumkan rakan kami di luar negara," katanya.
-malaysiakini-
Berikut kronologi kes pembunuhan Altantuya:

2006:

26 Okt: Cif Inspektor Azilah Hadri dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman ditangkap berhubung kehilangan Altantuya.

6 Nov: Korporal Sirul Azhar Umar dari unit yang sama turut ditangkap.

7 Nov: Penganalisis politik Abdul Razak Baginda ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

15 Nov: Azilah dan Sirul dituduh bersama di mahkamah majistret di Shah Alam atas pembunuhan Altantuya. Mereka didakwa telah membunuh wanita itu di satu lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam 19 Okt dan 1.00 pagi hari berikutnya.

16 Nov: Razak didakwa di mahkamah majistret Kuala Lumpur kerana bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan itu. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi pada 18 Okt di tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang.


2007:

19 Jun: Perbicaraan Abdul Razak Baginda dan dua anggota polis berkenaan atas pembunuhan Altantuya bermula.

2008:

31 Okt: Mahkamah Tinggi membebaskan Razak tanpa memerintahnya membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau. Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan telah
membuktikan kes prima facie terhadap Azilah dan Sirul Azhar dan memerintahkan mereka membela diri.

14 Nov: Timbalan pendakwa raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan pendakwaan tidak akan merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.


2009:

15 Jan: Azilah dan Sirul Azhar memulakan pembelaan diri. Azilah memberi kenyataan bersumpah dari kandang saksi.

4 Feb: Sirul Azhar memberi kenyataan bela diri dari kandang tertuduh.

9 April: Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dihukum gantung sampai mati.

10 April: Azilah memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.


13 April: Sirul Azhar memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.

2013:

24 Jun: Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kedua-dua mereka.

23 Ogos: Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan oleh Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka dari tuduhan berkenaan. Pendakwaan memfail rayuan pada hari yang sama.

2014:

23 Jun: Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pihak pendakwaan. Perkara itu didengar selama tiga hari.

25 Jun: Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan mereka terhadap rayuan pendakwaan.

Tiada ulasan: