"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jakim perlu ikut ajaran Islam

Wan Ji Wan Hussin
"Sebilangan tujuan (syariah) ialah menjaga gambaran (imej) baik tentang Islam”, pesan Syaikh Dr  Abdullah bin Bayyah dalam satu kenyataannya. Walaupun pesanan ini ringkas, tetapi kandungannya amat penting. Jika diabaikan, ia boleh memberi kesan besar kepada sudut pandang manusia terhadap agama Islam.

Sepertimana diyakini dan dipercayai ramai penganut agama Islam, Islam hadir membebaskan manusia daripada kongkongan kejumudan. Tetapi, sering berlaku kejumudan di kalangan umat Islam. Ia berlaku bukan kerana sifat agama Islam, tetapi sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab terhadap agama Islam.

Sikap jumud ini, menjadikan imej Islam makin calar. Lebih menyedihkan, imej buruk melekat dalam benak fikiran orang bukan Islam.

Memikirkan tentang perkara ini, kita akan nampak banyak tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dianggap sebagai penyumbang kepada kecelaan imej agama Islam. ini kerana, banyak pandangan Jakim tidak mempamerkan keluasan Islam seperti ajarannya yang sebenar, malahan bercanggah dengan prinsip asasi bagi agama Islam, seperti rahmat, kebijaksanaan, fitrah dan sebagainya. Ini dapat dilihat kepada beberapa kes-kes kendalian Jakim.

Antara contoh adalah, tindakan Jakim yang menganggap salah, malahan menangkap seorang anak gadis Melayu bernama Maznah Mohd Yusuf (Chetz) atas dakwaan menghina Islam kerana memberi makan kepada anjing yang dikhabarkan berlaku pada Ramadan. Jika difikirkan, tindakan Jakim itu amat berbeza dengan ajaran hadis sahih. Iaitu, Nabi Muhammad ada menggambarkan seorang perempuan pelacur Bani Israel diampunkan dosa disebabkan dia memberi minum kepada seekor anjing yang dahaga.

Dalam contoh yang lain pula, seperti isu pegang anjing. Dianggap salah tindakan itu dengan pelbagai kenyataan Jakim. Yang kelihatan, Jakim berpendapat memegang anjing itu sebagai haram. Dari sudut tradisi ilmu Islam, pendapat Jakim ini janggal. Ini kerana, dari sudut fiqh mazhab muktabar dalam sunni, dakwaan haram pegang anjing itu sendiri masih kabur. Lebih-lebih lagi tiada seorang pun ulama dalam mazhab empat menyatakan secara jelas pegang anjing itu sebagai haram. Yang wujud kekhilafan adalah kewajipan membasuh apabila menyentuh anjing, sepertimana yang popular dalam mazhab al-Syafie, sedangkan ada mazhab yang menyatakan tidak wajib, sebaliknya sekadar sunat saja, sepertimana popular dalam mazhab Maliki.

Jika dibuka kitab-kitab fiqh sunni yang muktabar, kekhilafan bukan sekadar berlaku dalam isu membasuh apabila menyentuh anjing, malahan di kalangan mereka dalam isu membela anjing pada selain untuk berburu dan untuk menjaga kebun dan binatang ternakan. Ini kerana, Ibn Abd al-Bar daripada mazhab Maliki yang memandang ia sebagai makruh saja, walaupun tanpa dinafikan kebanyakan ulama (termasuk dari mazhab Syafie) menyatakan haram.

Jakim tidak boleh memaksa manusia mengikut pendapat kebanyakan ulama. Ini kerana, dalam banyak sikap JAKIM sendiri yang berdiam diri dalam beberapa perkara yang melibatkan pendapat yang tidak majoriti, seperti fatwa ulama terdahulu tentang alat muzik. Ibn Hazm, boleh dikatakan antara ulama yang mengizinkan alat muzik, sedangkan ketika itu kebanyakan ulama mengharamkannya. Namun kini, pendapat Ibn Hazm itu diguna pakai.

Sudut pandang agama Islam Jakim lebih kelihatan canggung, apabila menteri yang mewakili Jakim pernah mengeluarkan kenyataan di Malaysia, yang diguna pakai adalah mazhab Syafie sebagai mazhab konsensus. Kenyataan ini amat bercanggah, kerana dalam banyak pengamalan fiqh di Malaysia tidak mengikut kepada mazhab Syafie. Contohnya seperti pembayaran zakat fitrah. Dalam mazhab Syafie, zakat fitrah tidak boleh dibayar menggunakan wang, sebaliknya perlu guna makanan rutin yang mengenyangkan. Pengamalan bayar zakat menggunakan wang mengikut pengamalan dalam mazhab Hanafi.

Dalam contoh lain, seperti hukum pemilikan tanah yang diteroka. Dalam kenyataan imam al-Syafie dalam al-Umm, pemilikan tanah yang diteroka tidak perlu mendapat keizinan pemerintah. Namun, pengamalan di Malaysia menggunakan cara pengamalan dalam mazhab Hanafi; iaitu mensyaratkan mendapat keizinan kerajaan terlebih dulu.

Ataupun dalam contoh yang lain, seperti kewajipan membayar zakat pendapatan. Tidak pernah wujud dalam fiqh tradisional mazhab Syafie tentang kewajipan zakat pendapat. Tetapi difatwakan wajib diamalkan di Malaysia berdasarkan pendapat ulama kontemporari (seperti al-Qaradawi) yang beliau sendiri berhujah dalam isu kewajipan zakat pendapatan tidak kepada pendapat dalam mazhab Syafie.

Bukan sekadar itu saja, malah kini kelihatan ada satu persepsi yang seakan-akan dicipta, iaitu sebarang perkara yang datang dari Jakim seperti dianggap sebagai mewakili Islam.

Ekoran itu, mengkritik Jakim, seakan-akan mengkritik dan menghina Islam.

Perlu dijelaskan di sana wujud perbezaan ketara antara Islam dengan badan agama Islam. Pandangan badan agama Islam, tidak semestinya agama Islam. Kerana pandangan badan agama Islam boleh jadi benar dan boleh jadi salah, sedangkan agama Islam tidak akan salah. Agama Islam bersumberkan wahyu, sedangkan badan-badan agama yang pandangan keagamaan mereka hanya bersifat mentafsirkan wahyu. Memandangkan wahyu itu hebat, diungkapkan dalam bahasa puitis dan dengan sasteranya yang tinggi. Apabila terlibat dengan kalam yang puitis dan sastera, sudah pasti memahaminya terikat kepada tafsiran. Apabila tafsiran, sudah pasti terikat dengan kemungkinan benar atau salah.  Itulah yang ada pada badan-badan agama.

Jadi, mengkritik apa-apa yang berkaitan dengan Jakim, tidak bermakna mengkritik Islam; mengkritik kandungan khutbah yang disediakan Jakim, tidak boleh dianggap sebagai mengkritik Islam; mengkritik sebarang keputusan Jakim, tidak boleh dianggap sebagai mengkritik Islam. Jika dianggap juga sebagai mengkritik Islam, sudah pasti Islam itu sudah punyai sumber agama selain Al-Quran dan hadis, sedangkan ini bercanggah dengan pesanan Nabi Muhammad.

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat  sampai bila-bila jika kamu berpegang dengan kedua-duanya; Al-Quran dan hadis”. (Muwatta’, hadis no : 3338)

Mengenangkan hal itu, melakukan kritikan terhadap Jakim satu perkara yang sihat. Ini kerana, ia boleh memberikan satu imej yang baik kepada Islam, iaitu manusia akan memahami kenyataan yang dikeluarkan Jakim itu tidak semestinya mewakili agama Islam.

Sekurang-kurangnya ia melahirkan tanggapan Islam dan Jakim dua perkara berbeza.

Namun, kritikan terhadap Jakim, wajar dijawab oleh Jakim dengan ilmiah, bukan kekuasaan. Tindakan menggunakan kekuasaan untuk atasi kritikan, bukan sekadar boleh dianggap sebagai tidak bermaruah, malah tindakan yang tidak mengikut aturan Al-Quran. Ini kerana, Al-Quran mengajar konsep debat dan penghujahan yang terbaik.

Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125:“Serulah manusia kepada jalan Tuhan kamu dengan kebijaksanaan dan debatlah mereka dengan cara yang paling baik”

Lebih-lebih lagi, tindakan Jakim menggunakan kekuasaan untuk atasi kritikan, tidak lebih sekadar memberikan gambaran buruk sudut pandang bukan Islam terhadap agama Islam.

Firman Allah:“(Firaun itu) merendah-rendahkan (tahap akal) kaumnya agar kaumnya taat kepadanya. Mereka (kaum firaun itu) di kalangan orang fasiq.” (Surah al-Zukhruf, ayat 54)

Wallahualam.

-malaysianinsider-


Tiada ulasan: