"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam, Yayasan Darul Hijrah warnai politik pasca banjir di Kelantan

ZULKIFLI SULONG
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub (tengah) dan Datuk Husam Musa (kanan) bergabung tenaga membantu membersihkan kawasan banjir di Kelanta. – Gambar ihsan Mohd Sayuti Omar, 17 Januari, 2014.Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub (tengah) dan Datuk Husam Musa (kanan) bergabung tenaga membantu membersihkan kawasan banjir di Kelanta. – Gambar ihsan Mohd Sayuti Omar, 17 Januari, 2014.
Kemunculan sebuah yayasan dengan secara tiba-tiba dalam memberikan bantuan kepada mangsa ketika Kelantan dilanda banjir paling buruk dalam sejarah mewarnai politik negeri dipimpin PAS itu.

Khemah, pusat perlindungan sementara, pam air, pasukan pembersihan, dapur, tong gas dan terkini van klinik bergerak yang menjadi keperluan kepada mangsa banjir menjadi sumbangan utama Yayasan Darul Hijrah dipimpin Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa.

Sikap proaktif naib presiden PAS itu dan yayasannya dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir menyebabkan beliau dilabelkan dengan gelaran sindiran “MB swasta.”

"Kerajinan Husam menerusi Yayasan Darul Hijrah itu diberi gelaran, sindiran Husam sebagai MB swasta. Gelaran ini dibuat kumpulan bekas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan sendiri," tulis pemerhati politik Kelantan Mohd Sayuti Omar dalam blognya.
"Rupa-rupanya kerajinan dan keprihatinan bekas exco Kelantan Husam Musa membantu mangsa banjir serta kegeligaan beliau memberi pendapat awal untuk membantu mangsa banjir kurang disenangi sesetengah pihak di Kelantan.

"Menyedihkan lagi pihak itu datang dari rahang partinya sendiri PAS yang sepatutnya menyatakan sokongan bukan cemuhan”.

Yayasan Darul Hijrah yang ditubuhkan pada 2014 kini menjadi koordinator semua badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memberikan bantuan di samping merangka pelan pemulihan banjir di Kelantan.

Yayasan ini mendapat sokongan kewangan dari negeri Pakatan Rakyat (PR) seperti Selangor dan Pulau Pinang.

"Yayasan ini seolah-olah mengambil peranan yang sepatutnya dibuat kerajaan negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mengkoordinasi bantuan ini," kata Pengerusi Eksekutif Ilham Center Hisomudin Bakar yang membuat kajian di Kelantan.

Hisomudin berkata, PAS sebagai sebuah parti utama di Kelantan gagal menggerakkan jentera dalam memberikan bantuan semasa dan selepas banjir.

Katanya, kenyataan pimpinan kerajaan negeri khasnya Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, banjir ini tidak seteruk 1967 dicemuh mangsa yang hampir menemui ajal ketika menghadapi banjir besar ini.

Husam menggerakkan yayasan itu di Precint 11, Putrajaya manakala di Kelantan pula operasinya seolah-olah berpusat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Di HUSM perbincangan awal dengan semua NGO dibuat bagi mengkoordinasi semua bantuan di samping bantuan pasca banjir dirancang.

Kini pelbagai idea dan rancangan dijalankan bagi membantu mangsa banjir ini. Terkini mereka menubuhkan Pusat Perlindungan Sementara di Kemubu, Kelantan.

Bagi menjayakan operasinya juga, Husam menggerakkan mahasiswa dari seluruh negara membantu menjayakan gerakan bantuan ini dan menjelang hujung minggu ini hampir 300 mahasiswa menyertai operasi beliau.

"Tim Perkampungan Harapan Mahasiswa baru bertolak dari KL khusus untuk bantu operasi pembersihan rumah orang kampung dan menyantuni suka duka rakyat sekali gus menjadi pendengar setia mangsa banjir," tulis Husam di Facebook.

“Mereka akan ditempatkan di empat kampung di Kuala Krai yang mendapat musibah banjir paling besar baru-baru ini iaitu di Kampung Karangan, Manjor, Laloh dan Pemberian.

"Menjelang hujung minggu ini Tim ini mencecah 300 mahasiswa. Yayasan Darul Hijrah menampung kewangan sebahagian besar operasi ini. Moga kehadiran mahasiswa ini memberi kekuatan kepada makcik dan pakcik kita," tulis Husam.
Pasukan sukarelawan Yayasan Darul Hijrah menyiapkan Pusat Perlindungan Darul Hijrah di Kemubu - Darul Hijrah Shelter @ Kemubu. – Gambar Facebook Husam Musa, 17 Januari, 2014.
Pasukan sukarelawan Yayasan Darul Hijrah menyiapkan Pusat Perlindungan Darul Hijrah di Kemubu - Darul Hijrah Shelter @ Kemubu. – Gambar Facebook Husam Musa, 17 Januari, 2014.
Dengan 27 daripada 43 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan terkesan akibat banjir ini, Husam bimbang kerusi PAS hanyut bersama “arus deras” yang datang bersama banjir itu.

Katanya, meskipun mereka tidak mempunyai keupayaan seperti kerajaan pusat daripada segi kewangan dan kepakaran, PAS perlu menjuarai program pasca banjir di peringkat akar umbi dan dilihat rakyat.

"Ada 27 DUN terlibat banjir (di Kelantan), kalau kita tidak jaga ini, semua hanyut sekali. Saya tidak mahu tengok DUN kita hanyut," kata Husam dalam program Malam Amal, Kelantan Pasca Banjir, "The Untold Story" anjuran Yayasan Darul Hijrah di Kuala Lumpur, awal bulan ini.

Hisomudin berkata, PAS dan kerajaan negeri Kelantan gagal memainkan peranan ketika dan selepas banjir di Kelantan kali ini.

Katanya, kemuncak kemarahan mangsa banjir ketika mereka dan keluarga bergadai nyawa antara hidup dan mati untuk menyelamatkan diri ketika air naik tanpa ada siapa datang membantu walaupun sudah beberapa hari terperangkap di atas bumbung dan bukit.

"Bukan kerajaan negeri saja, bahkan kerajaan pusat juga dibenci mereka," katanya.

Hisomudin berkata, sepatutnya jentera PAS Kelantan adalah antara yang terbaik di negara tetapi ia gagal berfungsi kali ini.

"Jentera parti sepatutnya dapat digerakkan secara sistematik. Sekarang orang Kelantan sebut kepada PAS 'ewek' atau lemahlah.

"Dulu kalau kita pergi mahu membantu pilihan raya misalnya, jentera (PAS) Kelantan akan berkata, terima kasihlah, duduk rumah saja sudah tetapi bila mari banjir ni mereka gagal. Begitu juga kerajaan negeri," katanya.

Selepas pucuk kepimpinan kerajaan negeri Kelantan bertukar tangan daripada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Datuk Ahmad Yakub, Husam disingkirkan sebagai anggota exco.

Sejak itu, kerajaan negeri dan PAS di Kelantan tidak stabil dan Husam didakwa sebagai antara puncanya ekoran kenyataan dan kritikan beliau terhadap kerajaan negeri.

Apabila banjir melanda, Husam dan Yayasan Darul Hijrah yang mengkoordinasi NGO untuk membantu mangsa banjir, menyebabkan mereka diagungkan penduduk Kelantan.

Idea dan gerakan mereka dalam membantu mangsa banjir mendapat sanjungan masyarakat sehingga kain rentang yang bertulis "Terima Kasih NGO" dinaikkan di kampung mereka.

Ia dibuat melalui semburan pada belakang kain rentang yang digunakan dan dinaikkan di tepi-tepi jalan kampung mereka.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: