"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukan Islam mana bakal bertanding untuk PAS, soal Mujahid

Bekas ketua biro perpaduan nasional PAS Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan keraguannya mengenai rancangan parti Islam itu untuk meletakkan calon bukan Islam bagi menentang DAP pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, sayap penyokong bukan Islam PAS tidak yakin mengenai kedudukan mereka dalam parti Islam itu berikutan terputusnya hubungan dengan DAP dan Pakatan Rakyat (PR).

"Siapakah calon-calon ini? Setahu saya, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga tidak pasti sama ada kewujudannya dalam parti terjamin.

"Dewan ini sekarang memikirkan kedudukannya dalam parti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pengarah pilihan raya baharu PAS, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini berkata mereka mungkin meletakkan calon bukan Islam di beberapa kerusi menentang DAP pada pilihan raya akan datang selepas putus hubungan dengan bekas sekutunya.

Beliau berkata, PAS akan memberi kuasa kepada sayap penyokong bukan Islam dan akan terdapat ramai calon bukan Islam diletakkan pada pilihan raya nanti.

Mujahid berkata, kewujudan DHPP itu sendiri adalah hasil usaha daripada pemimpin-pemimpin progresif, yang membawa sayap itu ke dalam struktur parti.

"Pemimpin-pemimpin progresif parti itulah yang menggalakkan dan mendesak interaksi antara masyarakat yang pelbagai. Sekarang kita keluar, siapa yang melakukan kerja-kerja tersebut?

"Inilah sebabnya mengapa DHPP berasa tidak selamat dengan kedudukan mereka," kata Mujahid, yang memainkan peranan penting dalam penubuhan sayap itu apabila beliau bertanggungjawab mengetuai biro perpaduan nasional PAS.

Pemimpin PAS dari puak progresif yang disingkirkan dalam pemilihan parti baru-baru ini, termasuk Mujahid, bekas timbalan presiden Mohamad Sabu, bekas naib presiden Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, dan bekas ahli jawatankuasa Dr Dzulkefly Ahmad, membentuk Gerakan Harapan Baru (GHB).

GHB yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada hari Isnin, diterajui oleh pengerusi sementara, Mohamad, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin PAS lain yang tewas.

Gerakan yang berkembang dengan sokongan kumpulan masyarakat awam dan badan bukan kerajaan (NGO), dilihat sebagai pelopor kepada parti Islam baharu yang akan menjadi alternatif kepada PAS.

Mujahid berkata DHPP pada pelbagai peringkat di beberapa negeri sudah menyuarakan minat mereka terhadap GHB.

"Hari ini kita mempunyai DHPP Tasek Gelugor di sini dengan kami. Mereka ingin tahu mengenai kita dengan lebih lanjut," katanya selepas mengumumkan jawatankuasa sementara GHB Pulau Pinang GHB di Butterworth semalam.

"Kita boleh berkongsi dengan mereka mengenai aspirasi pergerakan kita. Keputusan muktamad (sama ada untuk menyokong gerakan tersebut) terpulang kepada mereka," katanya.
-malaysianinsider-

1 ulasan:

IrWrWs berkata...

Soalan tu biarlah diuruskan kepimpinan baru.. kamu tu dah tiada jawatan buat cara tiada jawatan.. aku nak tanya kamu pulak... bila kamu nak keluar PAS..?