"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS sudah berubah dalam masa 40 hari?

Timmy Say
Sebulan 10 hari atau 40 hari. Itulah ‘panjangnya’ masa yang sudah berlalu sejak muktamar pemilihan PAS berlangsung pada 4 Jun, 2015 lalu. Bagi yang mengikuti perkembangan serangan terhadap PAS, parti ini sudah digambarkan berubah secara total dalam masa 40 hari.

Tidak mungkin PAS dah berubah dalam masa 40 hari.Jika PAS sudah berubah sebelum 40 hari ini, mengapa mereka yang menyerang sekarang ini tidak mendedahkan kepada rakyat dan menyerang PAS dari dalam lebih awal?

Atau mereka sendiri yang sudah berubah tatkala dikejutkan dengan keputusan muktamar? Biarlah masa menentukannya, dan rakyat menilainya selepas segenap waktu.

Persepsi 2: Keuntungan PAS bersama PKR dan DAP

Semua orang hanya bercakap keuntungan PAS bersama PKR dan DAP dan kerugian PAS jika tidak lagi bersama DAP.

Cuba kita berhujah sebaliknya – apakah keuntungan PKR dan DAP bersama PAS?

Sebelum 2008, PKR dan DAP tidak pernah menguasai apa-apa negeri. PAS pula menguasai Kelantan dan pernah menguasai Terengganu. Selepas bekerjasama dengan PAS, PKR mendapat peluang mentadbir Selangor dan DAP dapat menguasai Pulau Pinang meskipun PAS dan hudud berpisah tiada. Itu untung PKR dan DAP bersama PAS dan saling menerima dan menghormati parti lain tanpa soal.

Kini Pakatan Rakyat (PR) berpecah lagi. Tiada siapa yang untung. Semuanya rugi. Akan tetapi, ada yang cuba menanam persepsi PAS saja yang rugi semata-mata untuk mencari alasan bagi mencipta parti baharu.

Parti yang baharu memerlukan ahli. Ahli PKR, DAP dan Umno tidak akan menyertai mereka. Bahkan ahli PasMa sudah menyertai DAP.

Oleh itu, parti baharu ini memerlukan ahli PAS.  Bagaimana untuk mendapatkan ahli PAS? Kapal PAS, yang dibina bersama selama 60 tahun ini, mesti ditebuk sehingga tenggelam supaya ada ahli PAS yang mengikut mereka walaupun mereka sebenarnya hanya tidak puas hati dengan beberapa individu dalam parti dan kekalahan di muktamar PAS.

Walaupun begitu, hak demokrasi masing-masing wajar dihormati meskipun ia satu tindakan yang kejam kepada akar umbi PAS yang mendokong perjuangan parti ini tanpa mengira siapa tukang kemudinya.

Persepsi 3: Parti baru bahaya pada BN-Umno?

BN-Umno kuat selama ini kerana setiap DUN dan Parlimen tidak berlaku pertembungan kerusi di antara parti-parti komponennya.

RoS tidak pernah meluluskan entiti PR. Tidak perlu kita menjenguk jauh mengapa ia tidak pernah diluluskan. Ini kerana kelulusan ini membawa erti perlawanan 1 lawan 1 di semua kerusi dengan BN.

BN mengharapkan lebih ramai parti pembangkang yang bergaduh sesama sendiri sehingga terlahirnya pertembungan 3 atau 4 penjuru. Parti baharu ini akan diluluskan tanpa risau oleh Umno dan RoS sebab ia hanya merugikan pembangkang.

Lebih elok, rakyat mula bertanya dari manakah dana untuk parti baharu ini akan datang. Umum mengetahui, parti politik memerlukan dana yang banyak untuk bergerak. Tak percaya, boleh tanya Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah mengendalikan Semangat 46.

Persepsi 4: Siapa yang mahu Najib turun takhta?

Hakikatnya, semua di pihak pembangkang mengharapkan Najib yang membawa BN ke PRU14 kerana ini akan meningkatkan peluang untuk menguasai Putrajaya.

Bagi mereka yang sedang menyerang PAS - jika DAP menyuarakannya, ia dipanggil strategi. Jika PKR menyuarakannya, ia dipanggil cerdik berpolitik. Jika PAS terutamanya presiden PAS yang mencanangkannya, ia dipanggil mesra-Umno. Ia pelik tapi benar, dan cuba dibenarkan sesetengah media yang mesra-mereka.

Meskipun pelik, namun permainan masih diteruskan kerana modal politik yang sulung "PAS kini sudah berbeza" kerana "PAS ingin bersama Umno" perlu terus dihidupkan supaya tuduhan kelihatan seolah-olah benar bagi membolehkan kerja menebuk bahtera PAS dapat diteruskan bagi menambah jumlah ahli ke parti baharu.

Persepsi 5: PAS tidak demokratik?

Bandingkan cara PAS memberikan ruang kepada mereka untuk bersuara meskipun negatif terhadap PAS terhadap cara DAP menangani kritikan Tunku Aziz ketika beliau masih menjawat jawatan naib presiden parti.

Kalau ini bukan demokrasi sihat dalam parti, apa lagilah definisi demokrasi yang sihat bagi sesebuah parti? Cuma parti yang demokrasinya sihat sebegini dilihat jumud, manakala parti lain yang kurang ‘vibrant’ demokrasinya pula diangkat sebagai model.

Masa akan menentukan apa dan siapa yang sakit sebenarnya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: