"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bulan ‘berdarah’ dijangka berlaku pada hari ini

FENOMENA Super Blood Moon hanya akan berlaku lagi pada 2033 nanti.
Kuala Lumpur: Gerhana bulan penuh atau ‘Super Blood Moon’ iaitu gabungan tiga kejadian bulan penuh, fenomena Perigee dan gerhana bulan dijangka berlaku pada hari ini.

Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Mohd Zamri Shah Mastor berkata, fenomena itu bagaimanapun hanya dapat di lihat di benua Eropah, Amerika, Afrika serta sebahagian barat dan selatan Asia saja.

Katanya, fenomena terbabit ialah gabungan tiga kejadian perubahan pada pergerakan bulan ketika hampir dengan bumi.

Beliau berkata, gabungan bulan penuh dan Perigee atau ‘Super Moon’ (bulan dapat dilihat dengan jelas pada waktu siang) serta gerhana (Blood Moon) berlaku pada tarikh itu.

“Fenomena Super Moon berlaku kerana bulan berada di kedudukan orbit paling hampir dengan bumi dikenali sebagai Perigee. Semasa bulan di kedudukan Perigee, ia dalam fasa penuh menyebabkan kelihatan lebih dekat dan lebih terang berbanding biasa.

“Fenomena gerhana bulan pula menyebabkan ia kelihatan berwarna merah disebabkan bayang-bayang pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi.

“Kita juga akan dapat lihat bulan bersaiz lebih besar iaitu 14 peratus lebih besar berbanding semasa gerhana penuh pada April lalu,” katanya.

Beliau berkata, semasa fenomena Super Blood Moon, bulan kelihatan lebih terang sebelum gerhana dan berwarna kemerahan semasa gerhana.

Zamri berkata, fenomena ini mudah dilihat orang ramai di kawasan ia berlaku.

Katanya, orang ramai boleh melihat fenomena itu tanpa memerlukan kepada sebarang peralatan bantuan penglihatan serta mudah dikenali.

Menurutnya, di Malaysia, hanya fenomena Apogee dan bulan penuh dapat disaksikan dengan mata kasar pada April lalu.

“Kejadian yang menggabungkan tiga fenomena ini hanya akan berlaku lagi pada 2033 nanti. Di Malaysia pula, gerhana bulan penuh dapat dilihat pada 2018 nanti,” katanya.

Beliau berkata, fenomena itu akan mempengaruhi pasang surut air laut namun tidak menyebabkan berlakunya bencana.

“Super Moon boleh memberi kesan kepada kejadian pasang surut air laut, namun tidak akan menyebabkan sebarang bencana alam. Hal ini kerana bulan mempunyai daya tarikan graviti yang mampu mempengaruhi air laut,” katanya.
-hmetro-

Tiada ulasan: