"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelan PKR mendominasi Pakatan Harapan?

Lokman Ramlee

Komposisi Rundingan Meja Bulat untuk menubuhkan sebuah gagasan politik pembangkang yang baru Selasa lalu membayangkan betapa PKR mencatur untuk terus menerajui politik pembangkang.


Selepas memastikan bahawa PAS, sebuah parti dominan Melayu dapat disisihkan dari sifir politik pembangkang, PKR nampak semakin jelas mahu terus berada di pelan pemimpin pakatan berkenaan.

Langkah pertama yang diambil oleh PKR ialah mengukuhkan kedudukannya dalam Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan dan kini memasuki tahap kedua perancangannya menyediakan barisan calon yang berpotensi menang.

Antara rekrut utama yang dilakukan oleh PKR ialah menyeludup masuk Parti Amanah Negara (Amanah) ke dalam Pakatan Harapan yang sudah diumumkan penubuhannya.

Dalam kalangan pemimpin-pemimpin Amanah boleh dikatakan kesemua mereka memang mempunyai akses pada pimpinan PKR di semua peringkat. Malah hubungan ini mula dikesan semasa mereka berada dalam saf PAS lagi.

Golongan inilah yang dimaksudkan oleh bekas Naib Presiden PAS, Datuk Hassan Ali yang menyifatkan golongan yang dipanggil Anwarinas itu sebagai parasit politik dalam PAS.

Kini dengan “mencabut” mereka keluar PAS dan memimpin parti yang amat mesra PKR, lebih mudahlah PKR memperkukuhkan kedudukannya dalam Pakatan Harapan.

Selain mahu terus menerajui barisan pembangkang, mungkin juga tindak tanduk PKR kini lebih merupakan reaksi terhadap kemajuan dan keberkesanan DAP merekrut ahli-ahli Melayu yang berpengaruh mutakhir ini.

Ini kerana sudah tentu PKR dapat menghidu bahawa DAP jauh lebih tangkas menggarap isu semasa seperti 1MDB dan berupaya meyakinkan anak muda Melayu akan wawasan perjuangannya.

Jika trend ini berterusan tidak mustahil selepas pilihanraya umum 14 kelak, DAP menguasai sekurang-kurangnya empat negeri dan mengubati kempunannya dalam pilihanraya umum ke 12 pada 2008 tidak dapat memerintah Perak.

Walapun mempunyai bilangan kerusi terbanyak di kalangan anggota Pakatan Rakyat ketika itu, kerusi menteri besar terpaksa diberikan kepada PAS kerana perlembagaan negeri mahukan penjawatnya berbangsa Melayu dan muslim.


Bagaimanapun untuk pilihanraya ke-14 tidak mustahil DAP akan meletakkan lebih ramai calon Melayu di negeri-negeri sasarannya dan bersedia dengan ahli Melayu-Islam untuk diangkat menjadi Menteri Besar dengan persetujuan Pakatan Harapan.

Keadaan sama mungkin juga berlaku di Selangor. Rekod 15 kerusi dalam DUN Selangor besar kemungkinn akan bertambah jika DAP meletakkan calon-calon Melayu.

Dengan pengaruh PAS mungkin merosot, tidak mustahil DAP dengan ahli-ahli DUN Melayunya mempunyai kerusi paling banyak di kalangan pembangkang dan tidak mustahil menteri besar Selangor akan datang dari DAP.

Persepsi mutakhir yang agak negatif terhadap BN juga mungkin membantu DAP menambah kerusi lebih banyak berbanding PKR dan juga Amanah di Melaka dan Negeri Sembilan. Jika itu berlaku, PKR terpaksa akur.

Justeru demi mengelak kemungkinan itu, PKR merancang untuk mendominasi politik Pakatan Harapan dengan mempersiapkan calon-calon yang lebih berwibawa dan taat kepada kepimpinan.

Umum tahu betapa PKR lebih intim dengan Amanah berbanding PAS kerana percaya Amanah mempunyai lebih ramai “winnable candidates” daripada PAS. Justeru itu adalah penting bagi PKR “mengikat” Amanah supaya sentiasa cenderung padanya.

Bagi mengimbangi hakikat ini, maka barisan anggota Rundingan Meja Bulat harus diperhatikan. Nampaknya untuk pilihanraya umum ke-14 kelak, PKR sudah mula menggembleng seluruh pengaruh politiknya.

Secara rasmi atau tidak, umum tahu betapa pemimpin Wadah, Datuk Dr Siddiq Fadhil adalah tokoh yang menjadi ‘mursyidul am” tidak rasmi bagi PKR. Beliau menjadi rujukan bagi PKR bagi ehwal Islam.

Adalah difahamkan bahawa tokoh akademik itu memang sudah memimpin program perkaderan bagi tokoh-tokoh tertentu yang hendak dilonjakkan oleh PKR dalam hirakinya sejak sekian lama.

Beliau juga dipercayai masih memimpin majlis syura Angkatan Belia Islam (Abim) yang membolehkannya turut membantu membuat saringan terhadap potensi dan juga kredibiliti bakal-bakal calon PKR.

Sebab itu, kecuali DAP yang memang jelas tidak cenderung pada tata-urus soal sosial, ekonomi dan politik Islam, penyertaan NGO Islam berkenaan dan juga Amanah membayangkan betapa PKR mahu menjadi kepala jihad menentang BN.

Dari kalangan Amanah sahaja Anwar sudah mendapat sokongan daripada ramai mereka yang pernah menyertai jaringan tarbiyah Abim dan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan faham wawasannya.


Timbalan Penasihat Umum Amanah, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, mahupun Setiausaha Agung Amanah, Haji Anuar Tahir, adalah penyokong kuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak zaman Abim lagi.


Kini dengan gabungan Wadah, Ikram, Abim dan Amanah, PKR berasa lebih selesa apabila rundingan meja bulat Selasa lalu mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14.

"Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib," kata Wan Azizah.

Tiada ulasan: