"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Giliran rakyat ‘sekolahkan’ Umno

Sheikh Omar Ali
Tahniah kepada menteri besar Johor - Datuk Seri Khaled Nordin atas cadangan agar Umno didukung pemimpin yang baik, boleh diteladani dan profesional.Dengan kata lain, Umno sekarang ini didukung pemimpin yang rosak, tidak berakhlak dan tidak profesional.
Persoalan saya, apakah Umno mampu merealisasikan hasrat diutarakan MB Johor ini? Menyinggung soal kepimpinan yang baik dan boleh diteladani, rakyat sendiri sudah dapat melihat, kepimpinan tertinggi Umno sendiri pada hari ini dipalitkan dengan pelbagai skandal dan permasalahan.

Dalam isu 1MDB misalnya, pemimpin nombor satu Umno sendiri tidak dapat menangkis pelbagai tuduhan dan kritikan dikemukakan pelbagai pihak terhadap dirinya. Keadaan ini dikhuatiri meruntuhkan keyakinan rakyat dan bakal menggadaikan masa hadapan negara.

Lihat sahaja dari persoalan dikemukakan pihak pembangkang, kemudian munculnya tokoh-tokoh veteran Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Tee Kiat. Tidak lupa juga peringatan dari Majlis Raja-raja Melayu pada 6 Oktober 2015 lalu berkaitan isu 1MDB dan ketidaktentuan arah politik, ekonomi dan sosial negara; memperlihatkan kerosakan Umno sudah benar-benar ranum membarah.

Dalam keadaan begini pun, majoriti para pemimpin Umno masih mengambil sikap berdiam diri seakan-akan bersekongkol dengan kepimpinan yang tidak amanah.

Dari sisi lain, saya mengambil contoh langkah yang diambil bekas timbalan menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang menyertai PKR minggu lalu.

Beliau seorang yang dikenali bersih dan profesional semasa berada dalam Umno. Saya sendiri mengenali beliau secara dekat semasa keterlibatan saya dalam aktivisme kampus. Dalam konteks itu, antara jasa beliau adalah meminda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan diberikan ruang aktivisme yang lebih wajar kepada mahasiswa.

Namun beliau akhirnya meninggalkan Umno dengan satu mesej yang jelas; Umno enggan berubah!

Kritikan akar umbi enggan didengari dan tiada pembaharuan dalam pucuk pimpinan. Perjuangan beliau yang ingin membawa perubahan besar dalam politik dan reformasi institusi tidak disambut baik Umno.

Dalam keadaan begini, saya lontarkan semula persoalan kepada MB Johor; apakah lagi harapan yang boleh diberikan kepada Umno apabila saranan agar parti tersebut didukung pemimpin yang baik, boleh diteladani dan professional dibuat?

Ianya bagi saya tidak lebih sekadar harapan palsu yang ingin diperlihatkan kepada rakyat agar terus memberikan kepercayaan kepada Umno sedangkan Umno itu sendiri ibarat penghidap barah yang sedang menunggu mati.

Ia juga seolah-olah mencurah air ke daun keladi. Tidak ada apa yang boleh diharapkan lagi.

Menurut kajian Merdeka Centre yang dilaporkan akhbar Straits Times Singapura, tahap sokongan pengundi Melayu dan Cina terhadap kerajaan hari ini menurun kepada masing-masing 31% dan 5% berbanding 52% dan 11% pada Januari lalu.

Manakala keseluruhan tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan hanyalah pada angka 23% di samping hanya 17% sahaja rakyat yang berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan ekonomi negara.

Saya amat pasti, atas faktor-faktor sebeginilah menyebabkan Khaled mula memikirkan suatu saranan drastik perlu dibuat untuk menyelamatkan Umno.

Saya tiada masalah dengan itu.

Namun bagi saya, Khaled sepatutnya melontarkan saranan tersebut sejak awal-awal dahulu lagi. Bukan selepas Umno dan pemimpinnya terjerut dengan ketamakkan dan salahguna kuasa yang mereka lakukan sendiri sehingga menghakis keyakinan rakyat.

Sepatutnya kali ini ialah giliran rakyat pula untuk 'sekolahkan' Khaled dan Umno dengan menolak mereka daripada terus memimpin dan memusnahkan masa hadapan Malaysia.

* Sheikh Omar Ali merupakan pegawai khas kepada pengerusi DAP Johor / Ahli Parlimen Kluang - Liew Chin Tong

Tiada ulasan: