"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib kehilangan ‘talian hayat’ PAS di Parlimen

Amin Iskandar
Hari ini sidang Dewan Rakyat “paling mencabar” dalam sejarah akan bermula dan bakal menyaksikan kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diuji.Najib yang juga menteri kewangan diserang hebat kerana syarikat diilhamkannya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Skandal-skandal yang terpalit menyelubungi Najib ini menyebabkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan daripada PKR mengemukakan notis untuk mencadangkan usul undi tidak percaya terhadapnya.

Sesi Dewan Rakyat kali ini juga amat menarik kerana perubahan dalam susunan tempat duduk bagi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, melambangkang keadaan politik semasa di Malaysia pada hari ini.

Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi Dewan Rakyat lalu duduk bersebelahan dengan Najib sebagai timbalan perdana menteri, kini tempat itu digantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara Datuk Seri Shafie Apdal yang sebelum ini duduk bersama jemaah menteri lain kini akan bersama ahli Parlimen biasa.

Bagi pihak pembangkang pula, berlaku perubahan tempat duduk apabila Parti Amanah Negara (Amanah) menggantikan mereka selepas tertubuhnya Pakatan Harapan.

Sidang Dewan Rakyat kali ini juga penting kerana Najib bakal membentangkan Bajet 2016.

PAS sokong undi singkirkan Najib

Terdapat perkembangan baharu yang berlaku dalam PAS sejak akhir-akhir ini.

Jika sebelum ini parti Islam itu dikatakan sedang menjalankan “kerjasama” dengan Umno demi untuk melaksanakan hudud, perkembangan terkini menunjukkan sebaliknya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu pemberita di Kota Baru, Kelantan selepas “himpunan hijau” malam tadi parti Islam itu akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Najib sekiranya diadakan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Ia berbeza dengan pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang mengatakan parti Islam itu tidak akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Najib kerana ia merupakan “amalan tidak sihat” dalam demokrasi.

Minggu ini pada sidang media selepas Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa mengadakan pertemuan dengan PAS, Datuk Mustafa Ali mengumumkan parti Islam itu masih belum berhasrat untuk mengadakan kerjasama politik dengan Umno.

Pada sidang media sama, Takiyuddin mengumumkan PAS tidak menghantar usul baharu untuk membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung penguatkuasaan hudud di Kelantan.

Sehari sebelum PAS bertemu Perkasa, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin, Tengku Razaleigh Hamzah dan pasukan “The Expendables” mengadakan sidang media bersama bagi menentang penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma terhadap pengkritik 1MDB.

Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li turut bercakap mengenai usul undi tidak percaya terhadap Najib.

Perkembangan ini merupakan alamat tidak baik kepada Najib apatah lagi selepas Majlis Raja-raja Melayu menggesa isu 1MDB diselesaikan dengan segera untuk memulihkan ekonomi negara.

Tanpa “talian hayat” daripada PAS, Najib perlu memastikan semua ahli Parlimen BN bersamanya ketika Muhyiddin, Ku Li dan Shafie sudah pasti tidak menyokong.

Apakah Muhyiddin, Ku Li dan Shafie langsung tidak mempunyai pengikut di kalangan ahli Parlimen BN?

Sekalipun Najib berjaya memastikan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul undi tidak percaya terhadapnya, apakah jaminan Bajet 2016 akan disokong majoriti ahli Dewan?

Tiada ulasan: