"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhirnya Datuk Mahfuz Omar mengakui dia 'Harum Manis'(mempelam) luar hijau(PAS) dalam oren (Amanah)

ZULKIFLI SULONG
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengatakan beliau dianggap Harum Manis kerana masih ahli PAS walaupun pro Amanah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Oktober, 2015.Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengatakan beliau dianggap Harum Manis kerana masih ahli PAS walaupun pro Amanah.
Pertembungan antara PAS dan parti serpihannya Parti Amanah Negara (Amanah) memasuki era perang proksi dan psikologi apabila sebahagian pemimpin dan ahli PAS yang pro Amanah terus kekal dalam parti Islam itu.

Ketika menjelaskan siapa mereka, maka lahirlah pelbagai label atau bayangan bagi menggambarkan kumpulan mereka masing-masing, seperti Harum Manis, kelapa muda, kelapa tua dan sebagainya.

"Saya Harum Manis," kata ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar kepada rakan-rakanya dalam Amanah apabila ditanya apakah sikap sebenar beliau.

Harum Manis ialah sejenis mempelam yang mahal harganya, kira-kira RM20 satu kilogram, yang banyak ditanam Perlis.

"Harum manis ni, hijau di luar, oren di dalam," kata Mahfuz. Hijau merupakan warna rasmi parti bagi PAS manakala oren pula warna rasmi Amanah.

Kenyataan dan sikap Mahfuz, terutamanya sejak gagal mempertahankan jawatan sebagai naib presiden pada pemilihan parti Jun lalu, banyak berbeza dibandingkan sikap dan kenyataan pemimpin PAS yang lain.

Namun begitu, sehingga kini beliau masih kekal dalam parti Islam itu walaupun tidak mahu memegang apa-apa jawatan.

Semalam di Dewan Rakyat, ketika ramai pemegang jawatan utama PAS tidak mengangkat sepanduk "Mana 2.6 bilion" sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan pembentangan Bajet 2016, Mahfuz sebaliknya turut mengangkat sepanduk.

Bukan sahaja di dalam Dewan, beliau turut membawa sepanduk itu ketika di lobi Parlimen bersama wakil rakyat Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar, bekas ahli Parlimen PAS yang kini menyertai PKR.

Turut mengangkat sepanduk bersama ialah Siti Zailah Yusof, ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan, walaupun masih kekal dalam PAS.

Ahli Parlimen PAS yang berada dalam Dewan ketika itu, tetapi tidak mengangkat sepanduk ialah setiausaha agung Datuk Takiyudin Hassan (Kota Baru), ketua penerangan Nasarudin Hassan (Temerloh) dan ketua pemuda Nik Mohd Abduh Nik Aziz (Pasir Mas).

Ketika Mahfuz sibuk dengan Harum Manis, seorang pemimpin PAS lain berkata: "Saya kelapa muda, hijau di luar putih di dalam," membayangkan warna hijau dan putih selaras warna rasmi PAS.

Namun, seorang ahli PAS yang pro Amanah pula berkata: "Buat apa kelapa muda, isinya sikit takda santan. Baik kelapa tua, warna perang dekat oren, isinya tebal, tahan bila jatuh, isinya boleh keluar banyak santan."
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: