"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam: Amanah di Kelantan berjaya jinakkan PAS

Zulkifli Sulong 
PETALING JAYA: Datuk Husam Musa yakin pendekatan Amanah di Kelantan berjaya menekan PAS sehingga parti Islam itu sedia bersetuju mengadakan persefahaman satu lawan satu melawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Berucap di majlis makan malam Amanah Terengganu malam tadi, bekas naib presiden PAS itu berkata walaupun tidak jelas sikap PAS, parti itu sudah mula lunak dengan idea itu.

“Selepas kata berbulan-bulan, kita sedia tanding 3 penjuru, kita parti kuat, boleh kalahkah DAP, boleh kalahkan PKR, Amanah parti kecil, kita boleh kuburkan.

“Tiba-tiba setuju 3 penjuru. Bagi saya ini bermakna strategi kita di Kelantan sudah berjaya. Kalau tidak ada goncangan di Kelantan, mungkin tidak ada satu lawan satu,” kata Husam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini dilaporkan sedia bertanding satu lawan satu dengan beberapa syarat.

Sejak menyertai Amanah 30 Ogos lalu, Husam yang dilantik sebagai penasihat Amanah Kelantan mengambil pendekatan menyerang kerajaan negeri dan PAS, serta bertegas Amanah sedia mengambil alih Kelantan.

“Saya sejak dari awal-awal lagi telah meminta kebenaran daripada presiden Amanah dan pimpinan Amanah agar Kelantan diberikan sedikit autonomi untuk bertanding 3 penjuru walaupun berbeza dengan negeri lain yang mahukan satu lawan satu.

“Kita bukan nak kalahkan dia (PAS) dan bagi Umno menang di Kelantan tetapi kita mahu Amanah mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kelantan,” kata Husam disambut tepukan gemuruh peserta makan malam di sebuah hotel dekat Kuala Ibai itu.

Beliau bagaimanapun memberi amaran kemungkinan Hadi disalah lapor akhbar.
“Kena ingat, mungkin akhbar tersalah lapor dan lepas ini satu penjuru balik,” katanya merujuk kepada penafian Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz semalam yang menafikan laporan itu.

Nik Abduh dipetik Bernama semalam sebagai berkata PAS tetap dengan pendirian tidak akan mengadakan apa-apa hubungan dengan DAP.

Husam berkata sejak daripada awal lagi beliau memberitahu Tun Dr Mahathir Mohamad, kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang parti itu bersama PKR, DAP, Amanah dan Parti Warisan Sabah yang baru ditubuhkan perlu jalan dahulu tanpa menunggu PAS, yang masih belum membuat keputusan kerana “was-was”.

“Sekejap dia kata nak 3 penjuru, sekejap dia kata nak satu lawan satu. Dalam sembahyang pun, imam tidak boleh ambil kira orang was-was ini, imam nak sujud dah, dia baru nak angkat takbir.

“Kita kena mula dengan 5 parti ini dahulu, tanpa menunggu PAS,” kata Husam bagi membolehkan pelan strategi mengalahkan BN dikuat kuasakan tanpa menunggu pilihan raya.

Bagi beliau, minda yang ada pada rakyat sekarang hanya 2 blok sahaja iaitu blok kerajaan dan blok pembangkang yang mahu membuat perubahan.

“Bersama dengan kerajaan yang korup, yang jahat dan menzalimi rakyat dengan begitu lama, atau pilihan lain blok yang mahu membuat perubahan,” katanya.

Sebelum ini, katanya, orang ragu sama ada saf kepimpinan Melayu dalam blok perubahan ini boleh menawarkan yang lebih baik, bertenaga, padu dan cukup untuk menjadi pesaing kepada blok kerajaan atau tidak.

“Sekarang saya kira dengan perkembangan semasa menjelaskan lagi bahawa blok perubahan adalah juga sangat padu dan berketerampilan berbanding blok kerajaan,” kata Husam, dipercayai merujuk pemimpin di sebalik PPBM dan Warisan..

Husam berkata, mana-mana parti yang tidak membuat keputusan “boleh duduk di situ sampai bila-bila”.

“Tetapi kalau mereka hendak datang balik, kita kena bagi syarat kerana kita hendak membentuk kerajaan yang beramanah.

“Kalau namanya kerajaan Islam tetapi tidak beramanah, no way, ia akan merosakkan nama Islam,” kata Husam merujuk kerajaan PAS di Kelantan.

Tiada ulasan: