"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ini sebabnya kenapa Ramasamy bukan pengganti Guan Eng

Shamsher Singh Thind
Saya merujuk artikel bertajuk “Kenapa Guan Eng tak pilih Ramasamy?” yang diterbitkan FMT pada 7 November 2016.

Jelas sekali, penulis artikel itu tidak faham proses perlantikan ketua menteri di Pulau Pinang.

Menurut Perkara 7(2)(a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, Yang di-Pertua Negeri hendaklah melantik mana-mana ahli Dewan Undangan yang mungkin pada pandangannya mendapat kepercayaan majoriti ahli lain sebagai ketua menteri.

Tidak ada apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang atau undang-undang lain menyatakan timbalan ketua menteri akan dilantik secara automatik sebagai ketua menteri baru jika berlaku kekosongan.

Malah, Perkara 7(5) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan jika berlaku kekosongan dalam jawatan ketua menteri, semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), termasuk timbalan ketua menteri, hendaklah terhenti daripada jawatannya.

Ini bermakna, sekiranya Lim Guan Eng meletak jawatan atau hilang kelayakan di bawah Perkara 13(1)(e) perlembagaan negeri, iaitu selepas dijatuhkan hukuman salah dan dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan, maka P. Ramasamy dan ahli MMK yang lain turut akan hilang jawatannya dengan serta-merta.

Untuk memilih ketua menteri baharu, proses perlantikan di bawah Perkara 7(2)(a) perlembagaan negeri harus diulangi.

Semasa di Konvesyen Biasa DAP Pulau Pinang 2016, tindakan Lim “menamakan” Chow Kon Yeow sebagai bakal ketua menteri bukan bertujuan mengambil alih kuasa Yang di-Pertua Negeri. 

Sebaliknya, Lim cuma ingin mendapatkan restu awal daripada wakil parti yang hadir. Itu sahaja!

Sama ada Chow dilantik atau tidak sebagai ketua menteri yang baru, bergantung kepada sokongan yang akan diterima oleh Chow daripada adun lain, termasuk wakil rakyat parti lain.

Sekiranya penulis artikel itu masih tertanya-tanya kenapa Lim tidak “menamakan” Ramasamy sebagai ketua menteri baharu, maka jawapan yang mudah adalah Chow merupakan pengerusi DAP Pulau Pinang manakala Ramasamy ialah naib pengerusi.

Sebelum ini, majoriti adun memberikan sokongan kepada Lim untuk menjadi ketua menteri, dan bukan kepada Chow, atas persetujuan semua pihak dalam DAP.

Oleh itu, saya ingin menasihatkan penulis artikel tersebut membuat kajian dan rujukan sebelum membuat tuduhan palsu serta andaian yang tidak berasas.

Jangan sesekali lupa, Karpal Singh pernah menjawat pengerusi kebangsaan DAP dan beliau bukan berbangsa Cina!

* Shamsher Singh merupakan Setiausaha Publisiti DAP Taman Chai Leng

Tiada ulasan: