"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dedak RM 90 juta: Husam Musa tak berganjak walaupun diancam

Diancam saman dan digambarkan berdepan dengan nasib sepertiSarawak Report, hari ini bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa tampil memberi penegasan.

Kata ADUN Salor itu, beliau akan mempertahankan apa yang diucapkannya semasa berceramah di Selising, Pasir Puteh pada 6 Februari lalu.

"Tindakan mahkamah mungkin satu cara untuk membuktikan kebenaran isu berbangkit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peguam parti itu sedang meneliti kenyataan dibuat Husam mengengai isu dana RM90 juta yang dikaitkan dengan parti berkenaan.

Kata Tuan Ibrahim, kenyataan Husam itu adalah "tuduhan jahat"dan "fitnah.

Saman ke atas Husam itu, katanya, akan dikemukakan dalam masa terdekat.

Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa, beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Beliau yang dipecat daripada PAS pada Mei tahun lalu atas dakwaan melanggar disiplin membayangkan butiran mengenai dana itu akan muncul menjelang pilihan raya umum akan datang.

Semalam Tuan Ibrahim berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuatSarawak Report sebelum ini.

Mungkin tanpa penelitian

Katanya, PAS menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan jahat Datuk Husam Musa" bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

"PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Husam) sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report," katanya.

Husam berkata beliau menganggap kenyataan Tuan Ibrahim semalam dibuat tanpa penelitian.

"Kemungkinan beliau tidak tahu hujung pangkal isu berbangkit," katanya.

Husam juga berkata, beliau tidak pasti sama ada kenyataan Tuan Ibrahim mengenai tindakan mahkamah ke atasnya itu adalah bersifat peribadi atau pendirian rasmi PAS.

Isu dana RM90 juta itu mula ditimbulkan oleh laman sesawangSarawak Report yang sebelum ini giat membuat laporan mengenai salah laku yang dikaitkannya dengan kerajaan.

Ia disiarkan pada Ogos 2016.

Ekoran laporan itu PAS menyatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web berkenaan.

Kata Tuan Ibrahim ketika itu, PAS menganggap laporan Sarawak Report itu sebagai palsu dan berniat jahat, selain menjadi agenda untuk terus mengaitkan parti berkenaan dengan Umno.

Pada 13 Ogos 2016 Malaysiakinimelaporkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan memfailkan saman terhadap Sarawak Report dalam masa sebulan.

Menurut Abdul Hadi, PAS akan memfailkan saman itu di England kerana difahamkan media tersebut berpusat di sana.

PAS juga, kata Abdul Hadi mengenali peguam kanan yang pernah ada hubungan dengan parti terbabit sebelum ini.

"Dalam masa terdekat, dalam masa sebulan ini," kata Abdul Hadi.

PAS akhirnya dilaporkan menyerahkan surat tuntutan kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown kira-kira empat bulan kemudian, iaitu pada 13 Disember 2016.

Kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, surat berkenaan dihantar kepada Clare menerusi alamat beliau di London, United Kingdom.

"Notis tuntutan "Letter of Claim Pursuant to the Pre-Action Protocol for Defarmation" itu berkuat kuasa selama tujuh haribermula dari tarikh surat pada 13 Disember 2016.

"Notis berkenaan turut menyenaraikan tiga perkara tuntutan yang harus diambil tindakan oleh portal berita terbabit," jelas Takiyuddin seperti dipetik Harakahdaily.

Bagaimanapun pada 17 Disember Clare memberitahuMalaysiakini, surat tuntutan yang disampaikan kepadanya dari PAS adalah satu political gesture.

"Saya menganggap tindakan mereka itu sebagai satu political gesture dan satu penyalahgunaan protokol yang mereka mahu eksploitasi," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: