"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiausaha Agung Umno biadap terhadap Sultan Kedah

Ku Nan biadab mahu ambil "Langkawi permata Kedah", kata Mahfuz

MALAYSIA DATELINE

Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mahu mengembangkan Wilayah Persekutuan meliputi Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka disifatkan sebagai tidak masuk akal dan biadab.

Ahli Parlimen Pkok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, ia juga adalah penghinaan terhadap sultan Kedah apabila memasukkan Langkawi dalam cadangan tersebut.

"Adalah sangat biadab dan suatu penghinaan terhadap Kebawah Duli Tuanku Sultan dan rakyat Kedah apabila "pembodek tegar PM Najib" memasukkan nama "Langkawi Permata Kedah" dalam cadangan untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

"Walaupun hanya bersifat cadangan tetapi menunjukkan apa yang ada dalam kepala Setiausaha Agung Umno itu untuk mengambil "Langkawi Permata Kedah" daripada pemerintahan Sultan Kedah agar diletakkan di bawah jajahan takluk Kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mendakwa cadangan tersebut merupakan percubaan awal Umno mahu merampas kuasa pemerintahan Sultan Kedah ke atas Langkawi untuk dijadikan Wilayah Persekutuan Langkawi.

Bahkan katanya, belum sampai sebulan sambutan perayaan Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah, Umno sekali lagi selepas setahun yang lalu mengganggu tumpuan rakyat Kedah dan kemeriahan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah.

"Rakyat Kedah masih ingat peristiwa setahun yang lalu apabila Umno mengheret Tuanku Sultan Kedah dalam percaturan politik untuk cengkaman kuasa politik Najib dan Umno dalam satu komplot 'rampasan kuasa' dengan menggulingkan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar.

"Hari ini satu lagi percubaan awal untuk merampas Langkawi Permata Kedah dari pemerintahan Tuanku Sultan dan rakyat Kedah," tegasnya yang merupakan anak jati Kedah.

Menurut Mahfuz lagi, Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung Umno cuba memecah belah kesatuan rakyat Kedah yang berpayung dibawah kedaulatan sultan.

"Ku Nan perlu sedar bahawa, Langkawi kini telah dikenali sebagai “Langkawi Permata Kedah” dan ia diisytihar oleh Kebawah Duli Tuanku Sultan Kedah sempena sambutan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Tuanku Sultan pada bulan Ogos 2008.

"Pengisytiharan tersebut sekaligus menjelaskan bahawa Langkawi adalah sebahagian dari Negeri Kedah Darul Aman yang selama ini pelancong luar negara akan mengenali Langkawi Malaysia bukannya Langkawi Kedah," jelasnya.

Justeru tegasnya, rakyat Kedah sentiasa berdiri teguh bersama sultan dan tidak akan sama sekali menyerahkan walau seinci pun wilayah Kedah kepada Kerajaan Persekutuan.

"Sebaiknya Parti Umno 'nyah' meninggalkan Kedah kepada rakyat Kedah dan jangan mengganggu keharmonian kami yang selesa dibawah pemerintahan Tuanku Sultan Kedah," katanya.

Tiada ulasan: