"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU14 makin hampir bila MB naik lori sampah?

ARIF ATAN
Aksi Zambry mengumpulkan beg-beg sampah untuk diangkut  ke lori sampah.
Aksi Zambry mengumpulkan beg-beg sampah untuk diangkut ke lori sampah.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat semakin hampir ketika blok pembangkang masih ternanti-nanti kesudahan rundingan Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pagi tadi, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan berpakaian seperti pekerja bahagian pembersihan Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) menaiki lori sampah dan mengutip sampah di beberapa kawasan perumahan di sekitar bandar raya itu.

“Ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk mendekati golongan yang bertanggungjawab membersihkan persekitaran bandar raya ini. Saya perlu turun ke bawah untuk merasai pengalaman golongan ini melaksanakan kerja-kerja mereka," ujarnya dipetik dari Utusan Online.

Walaupun Zambry yang juga Adun Pangkor mendakwa tindakannya itu dibuat secara mengejut dan tidak dirancang tetapi banyak pihak melihat berkaitan dengan tempoh PRU14 yang semakin hampir.
Kelmarin, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di laman Facebook beliau menyeru supaya jentera pilihan raya parti itu bersiap sedia.

"Saya ingin berpesan kepada semua jentera Umno dan Barisan Nasional agar tidak leka atau ambil mudah kerja kita. Kita harus sentiasa bersedia dan berusaha memastikan jentera kita terus mantap untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 21 November 2016 memberi bayangan Perhimpunan Agung Umno tahun itu adalah yang terakhir menjelang PRU14.

Tarikh mandat penggal lima tahun kerajaan berakhir pada 24 Jun 2018 tetapi banyak pihak meramalkan PRU14 akan berlangsung selepas Sukan SEA berakhir 31 Ogos nanti.

Walau bagaimanapun, kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Semenanjung bermula 15 September tahun lalu masih digantung sehingga bantahan mahkamah di Selangor dan Wilayah Persekutuan berhubung syor persempadanan itu selesai.

Tiada ulasan: