SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
Guan Eng (tengah) menyampaikan cek replika kepada wakil 22 buah sekolah mubaligh yang berkelayakan di Komtar, hari ini. - Foto Sinar Harian
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan Kerajaan Pulau Pinang tidak menjaga kepentingan rakyat sebagai tidak berasas.
Menurutnya, Abdul Hadi sengaja buat-buat tidak nampak dengan usaha kerajaan negeri dalam membela rakyat sejak Pakatan Harapan memerintah Pulau Pinang.
Guan Eng berkata, beliau akan membiarkan fakta menjawab terhadap semua dakwaan Abdul Hadi itu.
"Saya tidak tahu mengapa dia buat tuduhan sedemikian. Dia ada mata, kenapa tidak lihat sendiri? Saya anggap tuduhannya itu tidak berasas. Saya juga kesal, seorang ustaz sepertinya sanggup tabur fitnah jahat seperti ini.
"Jika kita lihat dari segi peruntukkan, hal ehwal Islam mengalami kenaikan 100 peratus berbanding kerajaan negeri terdahulu. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Oleh itu, biar fakta sahaja yang jawab tuduhannya itu," katanya kepada media hari ini.
Guan Eng ditemui ketika menyampaikan cek replika peruntukkan kepada sekolah-sekolah mubaligh 2017 di Komtar.
Dalam majlis berkenaan, kerajaan negeri menyalurkan RM1.18 juta kepada 22 buah sekolah mubaligh yang berkelayakan.
Ditanya adakah Abdul Hadi membuat dakwaan itu disebabkan berdendam dengan DAP, Guan Eng berkata, beliau merasakan tindakan itu ada sangkut paut dengan Umno.
"Dia nak berdendam, itu terpulang lah. Tetapi, dari tuduhannya itu, jelas dia nak sokong Umno. Itu sahaja. Sekarang dia nak peluk Umno kuat-kuat. Dia lebih rela BN hidup dari Pakatan Harapan ganti BN di Putrajaya.
"Dia tidak sedar, tindakannya ini akan menyebabkan dia hilang Kelantan. Rakyat Kelantan hidup susah selama 25 tahun, apa yang mereka buat? Dia buat kenyataan ke atas Pulau Pinang kerana mahu tutup kelemahan Pas dan kerajaan negeri yang gagal di Kelantan," katanya.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, Abdul Hadi perlu menunjukkan usahanya dalam menjaga kepentingan rakyat Kelantan terlebih dahulu sebelum mengkritik Kerajaan Pulau Pinang.
"Sehingga ke hari ini, mereka gagal menyediakan rumah kepada mangsa banjir dalam kejadian tiga tahun lalu. Banjir berlaku sebab banyak hutan ditarah dan pokok di tebang. Ini untuk siapa? Saya pasti bukan untuk rakyat.
"Mereka juga dilihat gagal menjalankan ekonomi yang baik sehingga rakyat mereka yang miskin menjadi makin susah. Ini lah kelemahan yang mereka cuba tutup," katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa DAP telah menunjukkan 'belang sebenar' kepada umat Islam di Pulau Pinang dan gagal menjaga kepentingan awam di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung pelawaan menjalin hubungan semula antara DAP dan Pas dalam menghadapi PRU14 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan