"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi bakal hilang kerusi sendiri akibat salah perancangan

The Malaysian Insight 
PERANCANGAN yang dibuat oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh menyebabkan beliau kehilangan kerusi Parlimen dan negerinya di Terengganu, dedah satu kajian.

Kajian itu mendapati, tindakan Hadi untuk membawa PAS bertanding tiga penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bakal membawa bencana kepada partinya.

Penganalisis dari Pusat Kajian Universiti Teknologi Malaysia (VCE UTM) Dr Mazlan Ali dalam satu taklimatnya di Kuala Terengganu berkata bukan sekadar Parlimen Marang, Hadi juga boleh kehilangan kerusi DUN Rhu Rendang yang dimenanginya pada PRU13 jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 nanti.

Mazlan berkata PAS juga bakal kalah di tiga lagi kerusi Parlimen dalam pertandingan tiga penjuru.

Kajian itu menjangka, PAS hanya akan menang dua kerusi di Terengganu dalam PRU14 iaitu Paka dan Sura yang terletak dalam Parlimen Dungun jika pertandingan tiga penjuru berlaku.

Jika ini berlaku, tragedi 2004 akan berulang apabila PAS kehilangan Terengganu yang dimenanginya dalam PRU 1999, manakala Hadi sendiri kalah di Marang.

Hadi kalah di tangan calon BN, Abdul Rahman Bakar pada PRU 2004 namun menang kembali dalam PRU 2008 dan 2013 apabila PAS bergabung dengan parti dalam Pakatan Rakyat.

"Semua kerusi PAS di Marang juga akan jatuh ke tangan Umno jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan PAS," kata Mazlan pada majlis Analisis Politik Semasa PRU14 anjuran exco kerajaan negeri Terengganu Mohd Jidin Shafie, 31 Disember lepas.

Turut hadir ialah Adun Bandar daripada PKR, Azan Ismail dan Pengarah Komunikasi Amanah Terengganu Zubir Mohamad.

Mazlan berkata antara faktor yang diambil kira dalam kajian ini ialah berlaku pertambahan luar biasa pengundi baharu di Terengganu, kadar pengurangan pengaruh PAS antara 20-35% dan pengurangan pengaruh Umno antara 3-10% di negeri itu.

Mazlan memberikan empat sebab utama kenapa beliau meletakkan kadar pengurangan pengaruh PAS yang besar itu.

Sebab utama adalah berdasarkan perpecahan yang dialami PAS, sehingga menyebabkan akar umbinya menubuhkan Amanah.

Yang kedua pula pengundi bukan Melayu yang memberi undi kepada PAS dalam PRU 2013 lari ke PH.

"Sebab yang ketiga hala tuju PAS yang kurang jelas menyebabkan pengundi atas pagar tidak melihat PAS sebagai alternatif menggantikan BN, sebaliknya mereka melihat PH sebagai satu-satunya parti yang boleh menyaingi BN," kata Mazlan.

Persepsi umum bahawa PAS kini berbaik-baik atau ingin kerjasama dengan Umno juga menyebabkan sebahagian akar umbinya tidak selesa dan mungkin sama ada membuat undi protes atau mengundi PH, katanya.

Beliau berkata selepas berpecah pada 2015, PAS kehilangan ramai pengundinya dari kelompok yang menyokong pembangkang utama, bukan Melayu dan pengundi yang mengundi kerana ilmu terutama golongan pertengahan Melayu dan pengundi muda.

Hadi kini saling serang menyerang dengan bekas perdana menteri yang juga Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir mendakwa Hadi kini memihak kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Kajian Mazlan dan rakan-rakannya juga mendapati, PH berpeluang di tiga kerusi DUN iaitu Wakaf Mempelan, Bandar dan Ladang yang terletak di Parlimen Kuala Terengganu, apabila hanya kalah tipis di kerusi berkenaan dalam pertandingan tiga penjuru.

"Namun simulasi ini dibuat tanpa mengambil kira faktor calon, isu dan perkembangan politik selepas September 2017, iaitu ketika kajian dibuat," kata Mazlan yang banyak membuat kajian bagi pihak Majlis Profesor Negara (MPN) untuk Najib.

Katanya, walaupun mendapat ancaman dari Bersatu, Umno tidak berapa terkesan kerana parti itu mempunyai struktur politik Melayu luar bandar yang masih kukuh bersamanya.

"Ini disebabkan Umno ada keupayaan mengawal pengundi ‘subjek’ dan pengundi ‘parokial’ yang menjadi pengundi utama luar bandar melalui jentera kerajaan, media dan wang," katanya.

Mazlan berkata andaian ini dipandu oleh empat kajian yang dilakukan oleh VCE (Pusat Kajian UTM) sejak 2015 yang diketuainya di Terengganu.

Kajian menggunakan kaedah “kuantitatif” berbentuk “inferensi” dengan mengambil sampel yang dipilih secara rawak daripada populasi setiap kawasan Parlimen di negeri itu.

Di samping itu, kaedah kualitatif juga digunakan dengan cara temu bual dan pemerhatian secara ikut serta.

Pada PRU13, PAS menang empat kerusi Parlimen di Terengganu iaitu Marang, Dungun, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu serta 14 kerusi DUN.

Di Parlimen Marang, selain kerusi Parlimen, Hadi juga menang DUN Rhu Rendang manakala calon PAS lain menang di Bukit Payong dan Alor Limbat tetapi kalah kepada BN di Pengkalan Berangan pada PRU13.

Hadi tiga minggu lalu menegaskan sekali lagi PAS akan bertanding sebanyak mungkin kerusi pada PRU14 kerana parti Islam itu akan bersama Gagasan Sejahtera, dan bukannya bekerjasama dengan BN atau PH.

Katanya, PAS mahu bertanding lebih 130 kerusi Parlimen.

"Bagi Terengganu kita akan bertanding di semua kawasan. Insya-Allah, menang atau kalah itu cerita lain.

“Apa yang penting setelah kita berazam, bertawakal kepada Allah, ahli mesti patuh dan taat, " kata Hadi dalam satu majlis di Marang pada pertengahan bulan lepas.

Tiada ulasan: