"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz dijangka umum keluar PAS jam 2 petang ini

Zulkifli Sulong
PEMIMPIN PAS Mahfuz Omar dijangka akan mengumumkan peletakan jawatannya dalam parti Islam itu hari ini, menjadikan beliau sebagai ahli Parlimen terbaru keluar PAS berikutan keputusannya untuk menubuhkan pakatan pembangkang kedua.

Mahfuz, yang secara terbuka melobi PAS untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), juga dijangka akan mengumumkan beliau akan menjadi ahli Parlimen bebas buat masa ini.

Dalam menyokong pakatan PAS-PH, ahli Parlimen Pokok Sena itu sering menentang pimpinan partinya. Beliau juga menimbulkan kemarahan pimpinan PAS yang mahukannya keluar.

Sumber yang rapat dengan Mahfuz memberitahu bekas pesuruhjaya PAS Kedah itu juga akan mengumumkan peletakan jawatan itu pada sidang media yang dijadualkan berlangsung di Alor Star, Kedah pada jam 2 petang.

Mahfuz akhirnya membuat keputusan untuk keluar parti berikutan tekanan daripada penyokong akar umbinya, kata sumber berkenaan.

Mahfuz ketika dihubungi semalam bagaimanapun enggan mengesahkan namun tidak menafikan dakwaan ini.

"Saya hanya akan katakan sesuatu esok (hari ini). Sila hadir pada sidang media saya," katanya.

Mahfuz dianggap sebagai antara yang terakhir dalam kalangan pemimpin PAS progresif dan ahli yang meninggalkan parti pada 2015 selepas pertikaian dalaman.

Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu bersama ahli Parlimen lain meninggalkan parti itu pada 2015 dan menubuhkan Amanah.

Amanah juga merupakan salah satu daripada parti dalam pakatan pembangkang termasuk PKR, DAP dan Bersatu.

Selepas muktamarnya tahun ini, PAS mengumumkan untuk menubuhkan pakatan pembangkang kedua yang dipanggil Gagasan Sejahtera Rakyat.

Pakatan itu akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 menentang PH dan pakatan pemerintah Barisan Nasional.

Sejak penubuhan Bersatu pada 2016, tersebar khabar angin yang mengatakan Mahfuz akan menyertai parti Melayu yang juga sebahagian daripada PH itu.

Ini berikutan beliau dilihat kerap hadir pada majlis Bersatu dan secara terbuka menyokong timbalan presiden Bersatu dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Mahfuz turut menyokong Mukhriz ketika beliau digugurkan sebagai menteri besar Kedah di bawah kerajaan negeri sekarang pada 2014.

Pada November, seorang lagi pemimpin pro PH Kedah, Amiruddin Hamzah meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu.

Amiruddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit berkata, beliau memutuskan untuk meninggalkan PAS selepas parti itu berkata mustahil untuk bekerjasama dengan PH.

Tiada ulasan: