"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Satu lagi skandal era Najib terbongkar

KERAJAAN Pakatan Harapan membongkar satu lagi skandal kewangan pentadbiran Najib Razak melibatkan dua buah projek yang dijalankan oleh sebuah syarikat pemaju dari China, melalui sebuah anak syarikat milik Kementerian Kewangan yang dipengerusikan oleh Mohamed Irwan Serigar Abdullah.

Dua projek itu mendapat bayaran hampir penuh daripada Kementerian Kewangan walaupun kerja-kerja baru sedikit saja siap, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurut Lim, skandal itu melibatkan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), yang ditubuhkan khusus untuk menjalankan dua projek saluran paip gas dan minyak.

"Kontrak-kontrak ini telah dirundingkan oleh Jabatan Perdana Menteri tanpa penglibatan Perbendaharaan.

"Jabatan Peguam Negara juga telah menyatakan kontrak-kontrak ini telah ditandatangani tanpa mengira pelbagai soalan dan red flags yang ditimbulkan oleh pegawai-pegawai perundangan kerajaan persekutuan," kata Lim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Irwan, yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada sepanjang masa kejadian antara Mei 2016 hingga Mac 2018, bertanggungjawab menandatangi semua perjanjian berkaitan.

Kontrak dua projek berjumlah RM9.41 bilion ini diberikan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB). Antara syarat kontrak-kontrak itu ialah 85% daripada nilai projek-projek itu perlu dibayar pada 1 Mac 2018.

Syarikat itu telah dibayar hampir 88% daripada nilai projek sedangkan kerja yang sepatutnya siap dalam masa dua tahun hanya siap 13% sahaja. Jumlah yang sudah dibayar ialah RM8.25 bilion.

Bayaran itu tidak termasuk kos tambahan RM1 bilion bagi perjanjian perundingan dan penyelenggaraan yang diberikan kepada syarikat-syarikat dari China.

Dalam taklimat kepada Kementerian Kewangan minggu lepas, SSER melaporkan dua projek berkenaan dimulakan pada April 2017 dan dijangka siap dalam masa tiga tahun. Sehingga Mac 2018, hanya 14.5% projek MPP siap sementara TSGP siap 11.4%, setahun selepas projek bermula.

Kemajuan kerja yang dilaporkan belum lagi diaudit ataupun disahkan, kata Lim, tetapi RM4.71 bilion telah dibayar kepada CPPB untuk projek MPP dan RM3.54 bilion untuk projek TSGP.

"Ini adalah satu yang memeranjatkan kami di Perbendaharaan," katanya.

Irwan letak jawatan dari SSER pada 23 Mei lepas. Sebelumnya, lima hari selepas Pakatan Harapan menang PRU14, Irwan dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam dan digantung tugas berkaitan Kementerian Kewangan.

SSER ditubuhkan pada 19 Mei 2016 untuk melaksanakan projek Multi Product Pipeline (MMP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP), dua bulan sebelum Jemaah Menteri meluluskan projek berkenaan.

MMP melibatkan pembinaan 600km paip petroleum antara Jitra, Melaka dan Port Dickson, dianggarkan bernilai RM5.35 bilion. TSGP pula melibatkan pembinaan 662km talian paip gas antara Terminal Gas Kimanis dengan Sandakan dan Tawau, dianggarkan bernilai RM4.06 bilion.

CPPB mendapat kontrak itu pada 1 November 2016.

Projek ini juga dibiayai 85% daripadanya dengan pinjaman daripada China EXIM Bank manakala baki 15% akan dibiayai melalui terbitan sukuk. Kedua-dua pinjaman dan sukuk itu dijamin oleh Putrajaya.

Menurut Lim, keseluruhan jadual pembayaran bagi kedua-dua projek berkenaan berdasarkan masa dan bukannya mengikut kerja-kerja yang siap.

Dalam kenyataannya, Lim menggariskan beberapa hal yang mencurigakan terkait dengan dua projek paip minyak dan gas itu, antaranya seperti berikut:

SSER ada kaitan dengan orang yang sama di belakang SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysian Development Berhad. Bekas Perdana Menteri Najib Razak sedang disiasat berhubung pengaliran wang melibatkan SRC International.
Presiden SSER, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, adalah juga ahli lembaga pengarah Putrajaya Perdana Sdn Bhd, syarikat yang ada kaitan langsung dengan Low Taek Jho, individu yang namanya muncul dalam skandal 1MDB.
Kontrak SSER ditandatangani oleh Irwan pada masa yang sama dengan kontrak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Projek SSER dan ECRL dibiayai dengan pinjaman daripada China EXIM Bank.

Berdasarkan hal-hal yang mencurigakan itu, Lim minggu lalu mengarahkan pegawainya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Skandal yang baru dibongkar ini juga dimaklumkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara siasatan dijalankan, Kementerian Kewangan akan mengambil langkah untuk mengambil alih pejabat syarikat berkenaan, katanya.

Lim turut meminta Irwan menjelaskan kenapa SSER menandatangani perjanjian yang "terlampau berat sebelah" sehingga menggugat kepentingan rakyat dan kerajaan Malaysia.

Lim juga ada mesej sama kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak – terangkan mengapa dan bagaimana beliau membenarkan transaksi-transaksi berkaitan SSER ini berlaku.

"Jika perlu, kerajaan Malaysia akan mendapatkan bantuan kerajaan China untuk menjejak kembali segala pengaliran tunai di negara China bagi menyiasat kebarangkalian berlakunya pengubahan wang haram," tambah Lim.

Sejak jadi Menteri Kewangan, Lim mendedahkan ada beberapa fail sulit mengandungi kontrak yang merugikan kerajaan -- yang digelar fail merah -- yang disorok oleh pentadbiran Najib. Fail merah itu, katanya, akan dibongkar satu per satu.
-malaysianinsight

Tiada ulasan: