"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hishamuddin Rais nafi muat naik artikal berbaur hasutan

Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menafikan beliau memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di blognya, semalam.

Peguamnya, Zaid Malek berkata Hishammuddin telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, petang semalam dan mendakwa blognya telah digodam oleh pihak tertentu yang menulis dan menyiarkan artikel berkenaan.

Susulan itu, polis memanggil Hishamuddin untuk memberi keterangan di Balai Polis Petaling malam tadi bagi membantu siasatan dan tiada tangkapan dilakukan, katanya ketika dihubungi Bernama.

Zaid berkata proses merekod keterangan itu mengambil masa selama 80 minit dan selesai pada jam 12 tengah malam tadi.

Difahamkan Zaid menemani Hishamuddin ke balai polis itu kira-kira jam 10.30 malam setelah berhubung dengan pihak polis yang menyiasat dakwaan tersebut.

Semalam, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terhadap Hishamuddin yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan tersebut.

Hishamuddin didakwa memuat naik artikel itu di blognya www.tukartiub.blogspot.com.

Bagaimanapun, Hishamuddin difahamkan memadamkan kenyataan itu selepas salinan tangkapan skrin mengenainya tersebar di laman sosial.
- Bernama

Tiada ulasan: