"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saksi penting kes SRC serah diri selepas 3 tahun melarikan diri

Muzliza Mustafa

BEKAS pengarah SRC International, Suboh Md Yassin menyerah diri kepada pihak berkuasa Malaysia awal minggu ini selepas tiga tahun melarikan diri.

Suboh, yang sedang diburu bersama bekas pengarah urusan SRC International Nik Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, kembali ke Malaysia pada minggu lepas.

Beliau ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kenyataannya diambil.

"Dia menyerah diri kepada SPRM," kata sumber kepada The Malaysian Insight tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut.

Bagaimanapun, The Malaysian Insight difahamkan bahawa SPRM menghubungi Suboh dan memintanya membantu siasatan. Suboh menghilangkan diri pada 2015 di kemuncak siasatan terhadap skandal SRC.

Beliau pada masa itu dipercayai bersembunyi di Indonesia, Thailand dan New Zealand.

Sumber berkata Suboh, Nik Faisal dan Jho Low adalah saksi penting dalam penyiasatan terhadap SRC International serta "derma" RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun Najib Razak.

Suboh dan Nik Faisal pemegang saham Gandingan Mentari Sdn Bhd, iaitu salah satu daripada dua syarikat yang didakwa memindahkan RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun Najib.

Nik Faisal didakwa berkawan rapat dengan Jho Low dan bertindak sebagai orang tengah antara syarikat pembinaan UBG Berhad, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi bagi penyaluran AS$260 juta yang diselewengkan daripada 1MDB pada 2010 untuk membeli saham dalam UBG.

Ketika SRC disiasat pada 2015, SPRM mengeluarkan kenyataan meminta bantuan Suboh, Nik Faisal dan Jho Low.

Siasatan terhadap SRC tiba-tiba berakhir setahun kemudian apabila Najib yang ketika itu perdana menteri membubarkan pasukan khas yang sedang menyiasat skandal itu.

Bekas peguam negara Abdul Gani Patail yang ketika itu mengetuai pasukan khas berkenaan dipecat dan digantikan dengan Mohamed Apandi Ali yang kemudiannya membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB pada 2016.

Siasatan terhadap SRC yang merupakan anak syarikat 1MDB dibuka semula selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 sekali gus membentuk kerajaan baharu.

Sejak itu, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor disoal siasat SPRM. Polis juga menyerbu premis yang dikaitkan dengan Najib dan merampas 35 beg berisi RM114 juta, 37 beg berisi barang kemas dan 284 beg tangan berjenama mewah.

SPRM dua hari lalu mengeluarkan kenyataan rasmi meminta Nik Faisal dan Jho Low tampil untuk disoal siasat. Waran tangkap juga dikeluarkan terhadap mereka.

Difahamkan peguam Jho Low sudah menghubungi SPRM tetapi agensi anti rasuah itu memberitahu mereka lebih berminat untuk bercakap dengan ahli perniagaan berkenaan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, pasukan petugas SPRM telah berjumpa Peguam Negara Tommy Thomas semalam untuk memberi taklimat mengenai perkembangan terkini siasatan.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Jho Low akan ditangkap kerana pembabitannya dalam skandal 1MDB. Tambah Dr Mahathir, Jho Low kini berada di luar negara dan Malaysia tidak membuat perjanjian ekstradisi dengan negara itu.

Dr Mahathir tidak menamakan negara tersebut tetapi menurut sumber, kedua-dua lelaki yang diburu SPRM itu berada di China.

Tiada ulasan: