"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB Selangor: Dr Idris lebih disenangi HARAPAN

Parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) mengesahkan mereka menyokong Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon yang sesuai menjadi menteri besar Selangor.

Bagaimanapun pemimpin parti berkenaan berkata, ia mestilah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Hasnul Baharuddin, berkata partinya menerima sesiapa saja yang dilantik atas semangat muafakat sesama HARAPAN.

Diminta mengulas laporan Malaysiakini pagi tadi Hasnul berkata AMANAH Selangor mengetahui tentang cadangan menamakan Dr Idris sebagai calon menteri besar yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Azmin Ali.

"Kita ambil maklum dan menyokong (ketetapan itu) tapi, apa pun bergantung kepada persetujuan dalam HARAPAN dan bergantung kepada perkenan Sultan Selangor," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan semua empat parti dalam HARAPAN menyatakan sokongan jika Dr Idris dilantik ke jawatan menteri besar.

Sumber yang dekat dengan HARAPAN mendakwa AMANAH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan DAP negeri menghantar surat sokongan mereka terhadap Dr Idris kepada istana.

Surat sokongan PKR pula dihantar oleh ibu pejabat parti berkenaan.

Untuk lebih mengukuhkan lagi sokongan berkenaan Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail mengutus surat atas kapasiti presiden PKR.

Di sebalik cadangan berkenaan satu kumpulan lain dalam PKR pula menamakan ADUN Sungai Tua yang juga exco Selangor, Amirudin Shari.

Pilihan kedua kumpulan terbabit ialah ADUN Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin.

Belum masanya, kata DAP

Satu nama lain yang disebut-sebut ialah bekas setiausaha politik Azmin, Shuhaimi Shafie, yang juga ADUN Sungai Kandis.

Pengerusi BERSATU Selangor Datuk Abdul Rashid Asari juga mengakui memberi sokongan kepada Dr Idris sebagai calon menteri besar.

Pada masa sama katanya BERSATU juga akan akur kepada pilihan akhir yang dibuat Sultan Sharafuddin.

"BERSATU akur dengan pilihan HARAPAN dan Tuanku Sultan sebab ketiga-tiga (calon yang disebut-sebut itu) adalah daripada PKR," katanya.

Bagi DAP pula mereka lebih bersikap terus terang berbanding AMANAH dan BERSATU.

Sumber dari DAP Selangor berkata parti itu berpendapat belum masanya Amirudin dilantik sebagai menteri besar.

"Ya kami memang mahu Dr Idris sebagai menteri besar kerana kedudukannya yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan dalaman parti.

"Kami mahu mengelakkan masalah seperti yang dialami sebelum ini," katanya.

Sementara itu Pemuda AMANAH Selangor berpendapat HARAPAN wajar mempertimbangkan calon lebih muda berbanding Dr Idris.

Ketua pemudanya, Abbas Adzmi, berkata sebagai negeri termaju dalam Malaysia Selangor memerlukan pemimpin yang lebih muda, bertenaga dan agresif bagi menerajui negeri itu ke peringkat lebih jauh.

"Cuma kami di peringkat Pemuda AMANAH menerima siapa sahaja yang dicalonkan dan diangkat asalkan ia melalui proses permuafakatan politik HARAPAN.

"Kami mahu melihat susuk yang mampu meneruskan kegemilangan kerajaan Selangor," tegasnya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: