"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun M terus dijulang, Anwar sabar menanti

WAN HARON WAN HASSAN
SUDAH dua bulan Tun Dr Mahathir Mohamad dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7. Diangkat sebagai PM untuk kali kedua adalah satu sejarah yang unik dan mungkin sesuatu yang sukar untuk dicipta atau diulangi kembali.

Pencapaian dan legasi Tun M ketika menjadi PM yang ke-4 sudah pun diperakui ramai. Bukan sahaja rakyat Malaysia yang menerima dan memperakui hakikat ini tetapi pemimpin-pemimpin luar negara serta rakyat mereka turut memberi pengiktirafan yang sama kepada Tun M.

Tun M diiktiraf sebagai seorang negarawan yang unggul. Mengikut Shakespeare: “Some are born great, some achieve greatness, and some have greatness thrust upon them.”

Pun begitu, kita akur bahawa Tun M bukanlah insan yang maksum dan pemimpin yang penuh sempurna sifatnya. Beliau tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan ketelanjuran, khususnya di masa-masa silam. Tun M sendiri telah mengakui secara terbuka hakikatnya dan pernah memohon maaf kepada rakyat dan ‘mangsa-mangsa’ yang telah teraniaya.

Sebagai PM untuk kali keduanya, Tun M berpeluang bukan sahaja untuk menangani dan menyelesaikan masalah-masalah yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan rejimnya, malah beliau turut berpeluang untuk membaiki dan membetulkan kembali kesilapan serta keterlanjuran tersebut. Kiranya Tuhan amat menyayanginya sehingga memberi peluang keemasan dan istimewa kepadanya untuk berbuat demikian.

Kita sebagai rakyat Malaysia juga berasa bertuah kerana masih mempunyai Tun M sebagai pemimpin. Sekali gus kita juga diberi peluang untuk sama-sama menggembleng tenaga dan membanting tulang dalam agenda pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih berdaya maju, sejahtera dan aman damai. Insya-ALLAH.

Tun M menggalas dan memikul harapan rakyat yang begitu tinggi di atas bahunya untuk memimpin dan membawa mereka ke arah mercu kejayaan dan kemakmuran yang mereka idam-idamkan. Kita yakin beliau mampu untuk melakukannya.

Malaysia sekarang di persimpangan jalan di mana Tun M dan kerajaannya sedang mengorak langkah untuk mara ke depan dengan lebih yakin lagi. Berbekalkan prinsip kepimpinan yang telus dan amanah, meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat sebagai pertimbangan yang paling utama, mengatasi kepentingan peribadi pemimpin, puak atau parti sepertimana yang berlaku di masa-masa silam atau khususnya sebelum ini di bawah kepimpinan Najib.

Antara agenda perubahan dan transformasi yang sedang giat diusahakan termasuklah usaha-usaha untuk:

* menegakkan sistem pemerintahan yang berteraskan peruntukan perlembagaan dan keluhuran undang-undang;

* mewujudkan kepimpinan yang telus dan terbuka dengan amalan-amalan terbaik (good governance and best practices);

* mewujudkan keadilan sosial untuk rakyat yang berbilang kaum dan agama;

* menangani dan membendung dengan tegasnya gejala rasuah yang berleluasa;

* memberi ruang kepada rakyat untuk memberi maklum balas menegur dan mengkritik kerajaan dalam urus takbir negara atau apa-apa isu yang menyentuh kepentingan mereka.

Jika Tun M dan kerajaannya berjaya menghasilkan wawasan dan agenda tersebut, maka sudah tentu masa depan rakyat dan negara akan lebih terjamin berbanding dengan keadaan dan hala tuju yang tidak menentu sebelum ini, khususnya di bawah pemerintahan Najib.

Pun begitu, kita perlu akui bahawa agenda membangun negara adalah satu proses yang berterusan yang tidak akan tertumpu dan berlaku semasa era Tun M sahaja atau terhenti dengan pemergiannya nanti. Kita juga perlu mengambil kira bahawa Tun M sudah begitu lanjut usianya.

Jika sayang sekalipun kita kepadanya, kita perlu terima hakikat bahawa sampai masa dan ketikanya, beliau terpaksa pergi atau berundur jua dari persada politik negara. Menjadi kewajipan kita bersama untuk menyusun satu perancangan peralihan dan kesinambungan kepimpinan negara, agar dapat dilaksanakan dan disempurnakan dengan baik, tersusun dan penuh teratur nanti.

Bila kita melihat dan menoleh kiri dan kanan untuk menilai tokoh-tokoh barisan pemimpin pelapis yang sedia ada serta mengambil kira keadaan dan faktor politik semasa, maka kita tidak nampak pengganti lain yang lebih layak dan berwibawa selain daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi PKR, komponen parti Pakatan Harapan yang terbesar dari segi jumlah bilangan wakil rakyat di Parlimen dan Dun, sudah pastilah pilihan mereka ialah Anwar sebagai pengganti kepada Tun M. Anwar bukan sekadar pemimpin ‘de jure’ dan ‘de facto’ kepada PKR tetapi beliau juga dianggap sebagai satu institusi yang paling unggul bagi PKR.

Jawatan Presiden PKR walaupun disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail ketika ini, adalah dikira sebagai hak mutlaknya. Bahawa Wan Azizah hanya memegang jawatan tersebut sebagai langkah interim sahaja. Anwar boleh mengambil alih bila-bila masa sahaja yang dikira perlu dan sesuai baginya.

Namun PKR perlu akur dan akui bahawa perkara ini bukanlah sekadar isu dalaman PKR sahaja. Ianya bukan sekadar melibatkan jawatan Presiden PKR tetapi melibatkan jawatan PM yang membawa implikasi lebih besar kepada negara dan rakyat jelata seluruhnya. Oleh itu pertimbangan dan perkiraan yang dibuat perlulah melangkaui dan membatasi perhitungan dan pertimbangan parti semata-mata.

Pemikiran dan pendirian parti-parti komponen-komponen Harapan juga perlu diambil kira. Bagi mereka, sekurang-sekurangnya ada dua pertimbangan utama yang perlu diambil kira dalam hal ini.

Pertama, persetujuan dasar antara parti-parti tersebut dan PKR untuk mengangkat Anwar sebagai pengganti kepada Tun M didalam tempoh masa dua tahun selepas PRU14. Kedua, sejarah bermula terbentuknya pakatan pembangkang sebagai satu gagasan politik menentang Umno dan BN bermula dengan Anwar melalui cetusan reformasi pada akhir tahun 80-an. Dalam tempoh yang begitu lama, sudah pasti banyak cabaran getir dan pahit maung yang dihadapi dan dialami bersama. Pastinya semua pengalaman dan cabaran ini telah membentuk semangat setiakawan dan solidariti yang kental dalam kalangan pemimpin-pemimpin serta ahli parti-parti berkenaan.

Perlu juga diingat bahawa sepanjang hampir 20 tahun sejarah politik gagasan tersebut, Anwar telah diiktiraf dan diangkat sebagai bakal perdana menteri, (a PM Designate) semasa PRU12 dan 13. Kemudiannya semasa PRU14, ikut dipersetujui sebagai bakal pengganti kepada Tun M sebagai Perdana Menteri. Keputusan PRU14 jelas menunjukkan rakyat jelata menerima dan menyokong susunan kepimpinan ini.

Semua ini pasti membawa makna dan ertinya yang tersendiri dalam lipatan sejarah dan ikatan hubungan setiakawan di antara parti-parti komponen. Hanya Pas sahaja yang goyah dan yang sering menimbulkan masalah dalaman. Keputusan Pas untuk keluar dari pakatan pembangkang dan memilih untuk bersekongkol dengan Umno pada mulanya mencemaskan keadaan dan menimbulkan kerisauan kepada rakyat. Tetapi akhirnya ianya adalah satu perkembangan yang terbaik untuk Harapan dan negara. Ianya menjadi satu rahmat yang tersendiri di dalam percaturan politik negara. Sebagai 'a blessing in disguise and a God-sent solution to the recurring problems within the opposition coalition'.

Bagi Tun M dan Bersatu pula, parti komponen yang terakhir yang menyertai Harapan, mereka juga ikut terikat dengan perjanjian bertulis berhubung dengan pelan peralihan kuasa tersebut. Apa yang disebut atau dikenali sebagai ‘The Succession Plan’ dari Tun M kepada Anwar telah tertulis dengan tinta emas dan dipersetujui bersama. Yang mana ianya akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun dari PRU14.

Namun Anwar telah memberi kenyataan dan jaminan terbuka kepada Tun M bahawa beliau bersedia memberi masa dan tempoh laluan lebih dari dua tahun kepada Tun M untuk terus memimpin negara.

Baru-baru ini, Tun M juga berkata bahawa beliau peka dan sedar dengan kepahitan dan kegetiran yang telah dilalui serta dialami oleh Anwar dalam perjuangan politiknya. Oleh itu Tun M memperakui bahawa Anwar berhak diberi peluang dan ruang untuk tampil ke depan untuk meraih dan menuntut haknya sebagai pemimpin.

Apabila diambil kira faktor-faktor tersebut, maka adalah jelas dan nyata sekali bahawa Anwar adalah pemimpin yang paling berhak dan layak untuk menggantikan Tun M sebagai PM.

Lain-lain perhitungan dan pertimbangan juga menyokong pilihan tersebut. Anwar dikira mempunyai pengalaman yang luas sebagai pemimpin tertinggi kerajaan termasuk pengalamannya sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau telah melalui banyak pahit getir kehidupan dalam penjara yang pastinya telah memberi masa dan ruang yang cukup kepadanya untuk berfikir, bertafakur dan bermuhasabah diri untuk menjadi pemimpin yang lebih baik lagi. Anwar juga merupakan tokoh politik yang amat dikenali di peringkat antarabangsa dan diterima dengan senang hati oleh dunia barat dan timur. Pendek kata tidak ada tokoh-tokoh lain dari barisan pelapis yang sedia ada yang dapat menandingi kehebatan dan ketokohan Anwar sebagai seorang pemimpin yang berwibawa untuk mengganti Tun M.

Bagaimana pun, perlu diakui bahawa terdapat pihak-pihak tertentu semenjak dulu sehingga sekarang yang sering mengambil sikap anti-Anwar dan tidak pernah senang dengannya. Sepanjang masa mereka telah meneruskan berbagai angkara agenda dan retorik terhadap Anwar serta menimbulkan berbagai sentimen-sentimen negatif terhadapnya.

Anwar digambarkan sebagai seorang pemimpin nasionalis yang radikal, aktivis anti-establishment, bukan seorang negarawan, kurang kesabaran, cenderung kepada retorik dan slogan daripada intipati isu, tidak jelas visinya dan tidak terperinci dalam isu-isu besar negara, mudah berkompromi dan condong dengan pihak-pihak tertentu seperti institusi raja dan bermacam-macam lagi.

Ini semua telah dicanang oleh mereka dari dahulu lagi sebagai propaganda terhadap Anwar. Mereka mempunyai agenda gelap tersendiri untuk menyekat dan menahan Anwar dari menjadi PM. Mungkin tohmahan-tohmahan yang dilemparkan ke atas diri Anwar sedikit sebanyak ada asas dan kebenarannya. Kewajaran menuntut Anwar untuk membaiki diri dan membawa perubahan yang bersesuaian. Namun pada keseluruhannya tuduhan dan tohmahan-tohmahan tersebut adalah tidak berasas dan sengaja diada-adakan oleh mereka untuk merosak kredibiliti Anwar.

Seperti Tun M, Anwar juga bukan insan maksum dan sempurna. Nak cari pemimpin yang sempurna dan serba lengkap, maka sampai kiamat pun kita tidak akan ketemui. Maka marilah kita mengambil sikap yang pragmatik dan rasional dalam hal ini. Hakikat yang perlu kita diperakui ialah Anwar mempunyai banyak ciri-ciri keperibadian yang murni dan terserlah dan juga kepimpinan yang baik serta terbukti. Beliau merupakan pemimpin yang terbaik dan paling layak yang kita ada ketika ini sebagai pengganti kepada Tun M.

Perlu juga diingati bahawa sebelum ini pihak-pihak tertentu telah juga melempar berbagai tuduhan dan tohmahan yang lebih kurang sama ke atas diri Tun M sepanjang karier politiknya. Dari dulu sehinggalah sekarang. Namun rakyat jelata lebih tahu kebenarannya. Mereka dapat menilai dan membezakan antara yang benar dan yang batil.

Apa sekalipun kebaikan yang dilakukan oleh Anwar atau Tun M mungkin tidak akan membawa apa-apa perubahan atau impak kepada sikap dan sentimen gerombolan-gerombolan ini. Jika betul-betul hendak diambil kira, maka kita boleh katakan bukan sekadar Tun M atau Anwar yang sering dipersoal atau dipertikaikan, malah Nabi Muhamad SAW sendiri pun, walaupun sebagai insan pilihan Allah juga ikut dipersoal dan dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu semenjak dulu sehinggalah sekarang.

Jadi perlukah kita melayani atau rasa terganggu dengan angkara durja segelintir manusia ini?

Kiranya apa yang lebih penting ialah rakyat jelata atau khususnya majoriti rakyat yakin dan percaya dengan kepimpinan regu berbisa Tun M dan Anwar. Bahawa regu tersebut adalah merupakan kepimpinan yang terbaik untuk negara dan rakyat ketika ini. Bagi rakyat jelata, Anwar adalah pemimpin pilihan mereka untuk menggantikan Tun M sebagai PM.

Bagi gerombolan-gerombolan tersebut pula, mereka harus dibiarkan saja dengan suara sumbang mereka persis anjing-anjing liar yang mempunyai tabiat suka menyalak bukit. Tak akan runtuh bukit disalak anjing.

Bagi Anwar dan kita yang akur dengan ketentuan Ilahi, kita ambil saja peringatan yang tersurat dan tersirat dalam kata-kata berikut: “It might take a year. It might take a day. But whatever ALLAH has willed will surely find its way.”
-sinarharian

Tiada ulasan: